PELAKON dan penyanyi, Lufya Omar menyifatkan suami yang memukul isteri sebagai lelaki lemah.
Perkara itu disuarakan Lufya menerusi komen yang ditinggalkan pada sebuah video pelakon Hafidz Roshdi hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, untuk sebutan semula kes mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada, semalam.
“Lelaki yang angkat tangan (pukul) kepada perempuan itu lemah! Lemah selemah-lemahnya. Tugas anda untuk melindungi wanita, mendidik dan menyediakan keperluan isteri.
“Melainkan parut di muka bekas (isteri) itu disebabkan terlanggar dinding. Jadi itu tidak mengapa,” tulisnya.
Dalam komen itu juga, Lufya atau nama lengkapnya Lutfyah Sheikh Omar, 38, turut meninggalkan emoji sedih, seolah-olah memberi gambaran dirinya juga terkesan jika seorang lelaki bertindak sedemikan terhadap wanita.
Komen Lufya itu turut mendapat reaksi netizen apabila rata-rata bersetuju dengan pandangan yang disuarakannya.
“Betul. Macam orang tidak ada iman. Sanggup pukul isteri sampai cedera,” kata seorang netizen.
“Ayah kita bagi anaknya bukan untuk dilanyak-lanyak (dipukul),” kata seorang lagi pengguna media sosial.
“Parut itu akan meninggalkan satu kesan abadi,” kata seorang lagi netizen.
Semalam, mahkamah menetapkan 6 dan 7 Februari 2024 sebagai tarikh perbicaraan kes pelakon Hafidz Roshdi atas dakwaan mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada pada Mac lalu.
Teradahulu, pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Nurul Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya.
Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323. – HIBGLAM