Kutuk kekejaman, Meerqeen akhirnya bersuara isu Palestin

Selepas bertalu-talu dikecam isu bergambar dengan aktres kelahiran Israel, Gal Gadot, aktor Meerqeen akhirnya bersuara sekaligus menegaskan mengutuk sebarang kekejaman yang berlaku di Gaza, Palestin ketika ini.

Sebagai seorang beragama Islam, pemilik nama penuh Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 22, juga kekal dengan pendirian untuk memperjuangkan keadilan yang sepatutnya dimiliki oleh semua pihak.

“Saya pasti semua orang tahu akan situasi yang sedang berlaku hari ini. Syaa dididik lengkap oleh kedua ibu bapa dengan nilai-nilai yang perlu saya tampil dan perjuangkan sebagai seorang Muslim.

“Saya tidak pernah walau sekali pun berpaling daripada pendirian itu dan mengambil kesempatan ini untuk menegaskan bahawa saya mengutuk dan mengeji sekeras-kerasnya keganasan dan kezaliman,” katanya dalam Instagram.

Pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu juga akan terus berjuang sebagai orang Islam demi memperolehi kedamaian sejagat.

“Sebagai seorang Muslim, saya percaya dengan tanggungjawab untuk terus berusaha menjadi khalifah di bumi pinjaman ini dan memperjuangkan keadilan serta kedamaian.

“Doa dan harapan saya akan sentiasa terus untuk saudara-saudara kita yang terpaksa menghadapi keganasan dan kezaliman di bumi mereka,” katanya lagi.

Tanpa menyebut nama mana-mana pihak, Meerqeen juga turut berdoa agar segala kejahatan dan kezaliman di atas muka bumi ini dibalas setimpal oleh Tuhan.

“Dengan kudrat dan kemampuan saya yang kecil ini, saya akan terus menjalankan tanggungjawab saya dalam memerangi kezaliman dan menunjukkan akhlak sebagai seorang Muslim yang sebenar.

“Saya percaya kepada perancangan Allah SWT dan hanya Dia yang akan membalas setiap kezaliman sejak awal hingga akhir waktu.

“Untuk itu, saya menyeru kepada saudara-saudara saya serta rakyat Malaysia keseluruhannya agar terus memperjuangkan kebenaran. Semoga suatu hari, kedamaian akan tiba dengan izin-Nya,” ujarnya.

Sejak beberapa hari lalu, nama Meerqeen menjadi topik hangat netizen apabila kenyataannya berhubung isu bergambar dengan Gal Gadot sekitar Mei lalu kembali tular dalam media sosial.

Perkara itu menyemarakkan kemarahan orang ramai terutama ketika bumi Palestin diserang rejim Zionis laknatullah.

Lebih teruk, Meerqeen juga turut dikecam sehinggal dilabel sebagai penyokong Israel. – HIB GLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok