Konsert Semangat Zaman ‘gigit’ nostalgia rock kapak

AURA kegemilangan zaman ‘rock kapak’ sekitar era tahun 1980-an begitu terasa ketika melihat penonton berpusu-pusu hadir menyaksikan konsert Semangat Zaman di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ada segelintir penonton yang datang bergaya dengan memakai jaket denim, kasut potongan tinggi (but) dan seluar ketat, sekali gus menyerlahkan lagi rasa ketika berada pada era zaman kemahsyuran muzik ‘keras’ itu.

Peminat masih setia

Tepat pukul 8.30 malam, konsert Semangat Zaman yang menampilkan persembahan lapan penyanyi ‘otai’ seperti Datuk Nash daripada kumpulan Lefthanded, Joey (Bumiputera Rockers), Aris Ariwatan, Yantzen (Rusty Blade), Rahmad (Mega), Jatt (Black Dog Bone), Muss (May) dan Bandi (Amuk) mula membuka tirai dengan disambut sorakan penuh gamat oleh peminat fanatik mereka.

Nash dan Rahmad merupakan antara rockers yang menggamatkan konsert Semangat Zaman bertempat di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini. – SYAKIR RADIN

Sebagai pembukaan, pentas persembahan dimulakan dengan lagu Anugerah Zaman yang menampilkan penyanyi Aris Ariwatan, Bandi dan Jatt.

Ruang konsert yang mulanya kelihatan sedikit lengang, perlahan-lahan mula dipenuhi dengan penonton.

Selepas selesai sesi ‘pemanas badan’, pentas terus dihangatkan dengan persembahan oleh Joey dan Nash dengan menampilkan lagu berjudul Dari Sinar Mata oleh kumpulan Bumiputra Rockers.

Saat lagu yang dirakamkan tahun 1989 itu berkumandang, suasana yang sememangnya riuh sejak awal, semakin ‘mengganas’ apabila penonton turut sing along menyanyikan lagu ciptaan JS Kevin itu.

Apa khabar peminat rockers! Saya berasa cukup gembira dan terharu dengan sambutan penonton pada hari ini terutama penggemar muzik rock.

“Masih ada pengikut yang masih setia dengan muzik sebegini walaupun zaman telah berubah. Terima kasih kerana hadir memberi sokongan kepada Semangat Zaman,” ujar Nash sambil disambut sorakan penonton.

Tanpa berlengah-lengah, konsert diteruskan dengan persembahan lagu Cintamu Mekar Dihati, Hatiku Kekal Padamu dan Peluang Kedua membabitkan vokalis Muss dan Rahmad Mega.

Masih padu, ‘telan kaset’

Umpama suara ‘telan kaset’, vokal kumpulan Muss May itu tidak berubah sama ketika zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu.

Muss May masih kekal bertenaga walaupun usia sudah melewati 50 tahun.

Tetap nyaring dan bertenaga sehingga membuatkan peminat tegar yang sedari awal menanti kemunculannya turut berteriak sama.

Deretan lagu-lagu malar segar seperti Rumi dan Juli, Tiada Lagi Kidungmu, Pada Syurga Diwajahmu dan Di Alam Fana Cinta menjadi lagu yang ditunggu-tunggu penonton.

Biarpun detik hampir menunjukkan pukul 12 tengah malam tidak sedikit pun membuatkan penonton berganjak.

Nuansa persembahan dinoktahkan kemas dengan dendangan Semangat Zaman dan Curtain Call. Rasa puas jelas terpancar pada wajah setiap audiens bersempena ulang tahun ke-20 tahun penerbitan diskografi Semangat Zaman.

Meskipun terdapat penggantian artis dan lagu yang dibawakan, band pengiring yang dipimpin oleh Alfa bersama Rumie, Eddie, Loco, Mijan, Nappie, Awe, dan Nazrul tetap konsisten dalam memberikan penampilan yang mengesankan.

Mereka berhasil menghidupkan 20 lagu dengan penuh semangat tanpa menunjukkan tanda-tanda kelelahan walaupun usia mereka memberitahu sebaliknya.

Konsistensi dan energi yang tinggi dari pemuzik dan vokalis menciptakan pengalaman ‘karaoke’ yang meriah bagi peminat.

Melihat lapan legenda rock tanah air tampil bersama dalam satu malam adalah pengalaman yang tidak terlupakan bagi para peminat muzik rock.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok