Kebangkitan Elisya Sandha

MENGECAPI kemasyhuran selepas sudah berkeluarga, aktres Elisya Sandha, 24, membuktikan bakat serta kejelitaannya berjalan seiring.

Meniti jalan karier dan hidup bersulam kematangan, bagi pemilik nama sebenar Nur Elisya Sandha Hassan itu, status sebagai isteri tidak menghalangnya untuk aktif melipatgandakan usaha dalam mengukuhkan kerjaya seni.

“Melihat ramai rakan seperjuangan termasuk kakak saya, Fasha mengendalikan keluarga dan karier dengan baik biarpun masa kerja kami tidak sama macam orang lain membuatkan saya yakin dengan diri sendiri.

“Memang saya akui rezeki apabila sudah berkeluarga makin meriah, tetapi saya pun tak boleh tamak, kena tengok dulu kemampuan dari segi masa kerana (anak) Bunga Elhaq masih kecil.

“Banyak ujian apabila dah jadi emak kerana dulu ketika tempoh habis berpantang rasa berat nak tinggalkan si kecil sampai saya ambil cuti berlakon beberapa bulan lagi.

“Sekarang Bunga Elhaq pun dah mencecah 15 bulan, jadi saya dah boleh aktif termasuk penuhi tawaran untuk jadi jurucakap atau duta produk,” kata isteri kepada Uzair Haqimy Azman itu.

MELETAKKAN anak sebagai prioriti, Elisya sentiasa memastikan keperluan suami dan puteri mereka terjaga sebelum keluar bekerja.

Menurut pelakon filem Rasuk itu, situasi tersebut memperlihatkannya kerap bekerja di bawah syarikat milik keluarga mentua iaitu Sheila Rusly dan Jinggo, JS Pictures sehingga disangka enggan terbabit dengan produksi lain.

“Sebenarnya orang salah sangka. Bukan tak mahu bekerja dengan orang lain, cuma adakalanya tawaran datang membabitkan lokasi luar daerah atau memerlukan tempoh panjang.

“Saya terpaksa tolak dengan baik kerana anak saya masih terlalu kecil untuk ditinggalkan lama-lama. Saya anggap itu mungkin bukan rezeki saya.

“Bekerja dengan keluarga sendiri pula lebih mudah kerana mereka faham jadual, tetapi tidaklah sampai saya ambil kesempatan. Profesionalisme kena jaga.

“Namun ada juga tawaran syarikat lain saya sambar ikut kepada masa serta watak memandangkan ada antara pelawaan itu membabitkan karakter yang memang saya teringin buat,” ulasnya lagi yang muncul dalam seram Gemersik Berbisik.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok