Kalau ‘dia’ pandu Myvi pun saya okey – Wani Kayrie

BARU berusia 23 tahun, namun pemikiran dan pembawakan diri penyanyi asal Sabah itu terlihat cukup matang.

Pada usia begitu, perasaan untuk mengenal erti cinta dan dicintai seseorang akan mulai timbul. Itu lumrah yang tidak boleh dielak.

Itu juga perasaan yang sedang didepani pemilik nama pentas, Wani Kayrie dalam meniti peningkatan usia.

Namun, rasa untuk memiliki kekasih itu dibuang jauh-jauh oleh Wani kerana merasakan dirinya saat ini masih belum ‘layak’. 

Hal ini kerana, dia merasakan tiada apa yang lebih penting berbanding komitmen terhadap keluarganya.

Ujar Wani atau nama lengkapnya Syazwani Abdullah, sebagai anak sulung, dia perlu memberi tumpuan terhadap keluarga, memandangkan adik- beradiknya yang lain masih lagi kecil.

“Teman lelaki? Tiada. Saya anak sulung dalam keluarga. Saya ada adik-adik yang masih kecil. Jadi saya kena fikirkan dahulu tentang keluarga.

“Sebenarnya saya boleh sahaja untuk ada pasangan (kekasih). Tetapi saya sendiri yang memilih untuk tidak mahu ada sebarang komitmen dalam percintaan buat masa sekarang,” ujar juara pertandingan Kamilah Bintang 2010 itu.

Kata pelantun lagu Jangan-Jangan itu lagi, usia masih terlalu muda untuk mempunyai komitmen terhadap cinta.

Bahkan, Wani juga mempunyai perancangan untuk menyambung pelajarannya sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) yang menjadi antara sasaran tertinggi yang mahu dicapainya.

“Usia saya masih muda, 23 tahun. Jadi saya rasa perjalanan masih lagi panjang. Kalau nak fokus dalam percintaan, saya sendiri sudah ada target sendiri untuk sambung belajar sehingga ke peringkat tertinggi (PhD).

“Jadi untuk memikirkan perkara lain (cinta), nampaknya belum lagi,” jelasnya.

Ketika disoal sama ada kehidupannya dikongkong oleh keluarga, Wani menepis dakwaan tersebut, malah dia memberitahu masih diberikan kebebasan oleh keluarga untuk dia bersosial, asalkan tahu untuk menjaga diri.

“Sejujurnya, kalau saya rasa kehidupan saya dikawal, ada kawan-kawan saya yang lain lebih teruk dikongkong oleh keluarga mereka.

“Berbanding saya, keluarga masih beri keizinan untuk saya berkawan dan pergi keluar jalan-jalan dengan kawan. Asalkan saya tahu jaga diri,” jelas Wani.

Disoal tentang ciri-ciri lelaki yang menjadi idamannya suatu hari nanti, tanpa berselindung, sepupu kepada penyanyi dan pelakon, Bella Astillah itu memaklumkan dirinya tidak terlalu cerewet dalam mencari pasangan.

Namun yang pasti, si dia (lelaki) itu mestilah seorang yang rajin dan berusaha untuk memajukan diri sendiri dan keluarga.

“Kalau ada kekasih suatu hari nanti, saya tidak kisah sama ada lelaki itu orang dalam industri atau bukan. Asalkan saya selesa dengannya.

“Saya tidak kisah sekali pun jika dia memandu kereta Proton atau Myvi. Apa yang penting dia ada usaha dan rajin,” katanya.

Wani juga tidak memandang pada harta kerana sedar, kehidupannya juga suatu masa dahulu bermula dari bawah sebelum berada pada tahap sekarang. 

“Kalau nak cari pasangan hidup pun, saya tidak boleh terlalu memilih sebab saya sedar asal usul saya.

“Bagi saya tak jadi masalah, yang penting kena rajin untuk berusaha,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok