Kahwin? Fikir pun sudah rasa paranoid – Ruhainies

HANYA selepas setahun, barulah lamaran hasrat meletakkan pelakon cantik, Ruhainies menjadi penghias muka depan sisipan Pose akhirnya tercapai.

Bermula dengan perancangan melakukan sesi fotografi secara ‘outdoor’, beberapa kali perancangan terpaksa ditunda dek kekangan masa dan faktor cuaca tidak menentu.

Enggan ‘ke laut’ lebih jauh hasrat yang telah lama dirancang, mahu tidak mahu, Ruhainies akhirnya bersetuju untuk memenuhi keinginan penulis, memandangkan jadualnya kini sedikit santai daripada sendat dek penggambaran.

Seolah-olah sudah dapat mengagak soalan ‘perangkap’ yang akan diajukan, Ruhainies atau mesra membahasakan dirinya sebagai Anies tenang menjawab melenturkan luahan, terutamanya berkaitan dengan lelaki dan jodoh.

Sambil ketawa besar, Ruhainies tidak mengelak ataupun menunjukkan rasa tidak selesa apabila sisi peribadinya cuba diselami. Wanita berkulit putih mulus itu bahkan sangat profesional memilih pendekatam terbaik setiap hala tutur katanya.

Rimaskah dia saat disapa tentang jodoh, jawab Ruhainies, rimas atau tidak itu tergantung keadaan. Paling nyata, tiada sedikit perasaan ‘benci’ dengan soalan sebegitu.

Tinggal lagi, jika bertubi-tubi diasak soalan sama, adakala terdetik juga di hatinya rasa tertekan dengan ‘permintaan’ orang.

“Rimas? Tidaklah rimas bila kerap diajukan soalan tentang jodoh. Cuma saya akan rasa tertekan. Sebab saya tidak mahu berumah tangga disebabkan tekanan daripada orang luar.

“Sebab yang hendak berkahwin dan menjalani kehidupan suami isteri adalah saya. Lagi pun banyak perkara negatif yang terjadi di sekeliling saya seperti perceraian.

“Jadi perkara itu sedikit sebanyak membuatkan rasa berasa paranoid untuk mendirikan rumah tangga,” jelasnya.

Selain paranoid, pelakon berusia 31 tahun itu juga ragu-ragu (untuk) berkahwin dek sifat ‘overthinking’.

“Saya ada sifat ‘overthinking’ yang mencetuskan takut terhadap perkahwinan. Saya beranggapan, orang lelaki hanya awal-awal sahaja akan sayangkan kita. Tapi lama-lama, kita tidak tahu.

“Jadi, bila ada seseorang mahu mendekati saya, cepat-cepat saya menjauhkan diri. Nampak gayanya macam jadi ‘andartu’ (anak dara tua) nanti,” seloroh Ruhainies.

Si genit pemilik nama lengkap Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu bagaimanapun tetap percayakan aturan Tuhan tentang pasangan hidupnya pada masa akan datang. Cuma waktu dan gerangan jodohnya sahaja masih rahsia.

Untuk artikel penuh, dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan atau layari www.kosmo.com.my

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok