Juri profesional, tiada ‘favoritism’ – Ramli MS

KETUA juri program All Stars Gegar Vaganza (GV10), Datuk Ramli MS sekali lagi menegaskan tidak wujud unsur pilih kasih atau penyanyi kegemaran dalam pemarkahan peserta.

Menurut Ramli, setiap peserta akan menerima markah yang selayaknya berdasarkan kualiti dan prestasi persembahan mereka pada setiap minggu.

“Tidak ada pilih kasih atau favoritism. Kalau mereka beri persembahan bagus, kami akan hadiahkan ganjaran, itu sahaja.

“Kalau kerja 10 jam, kami bayar gaji mengikut tempoh itu,” katanya kepada HibGlam usai konsert minggu keenam di Dewan Auditorium MBSA di sini, malam tadi.

Dalam masa sama, maestro muzik itu turut menafikan beberapa peserta seperti Aliff Aziz, Hady Mirza dan Jaclyn Victor merupakan ‘anak emas’ juri kerana sering mendapat komen positif.

“Orang cakap Aliff Aziz anak emas sedangkan kalau tiada Zamani malam ini (semalam), dia yang angkat beg (tersingkir).

“Sekarang dia di tangga corot dan Hardy pula memang tunjuk prestasi yang bagus, menyanyi sambil menari adalah satu perkara sukar. Hal itu memang dipersetui oleh semua juri.

“Ada juga cakap Jaclyn Victor pun anak emas tetapi dia juga tidak berada di kedudukan tinggi,” katanya lagi.

Mengulas mengenai keputusan juri menyingkirkan Zamani pada konsert keenam semalam, Ramli berkata, masalah teknikal berkaitan nyanyian antara punca penyingkiran tersebut berlaku.

“Sudah beberapa minggu dia ada masalah hendak habiskan sebutan (lirik). Apabila lambat, tempo bahagian depan pula sudah menunggu.

“Jadi apabila asyik terlambat, nafas pun kelam kabut. Banyak isu teknikal,” ujarnya.

Sementara itu, Ramli turut menyifatkan penyanyi Liza Hanim layak meraih markah tinggi dua dua minggu berturut-turut selain berjaya memukau hati juri dengan nyanyian lagu Rembulan.

“Liza mantap, tahap keyakinan pun tinggi. Itu yang kami mahukan,” ujarnya.

Semalam, Zamani meraih markah terendah dan diumumkan tersingkir pada minggu keenam GV10, sekali gus mengikut jejak langkah beberapa bekas peserta yang awal meninggalkan program kesukaan ramai itu iaitu Suki Low, Cliff Umar, Datuk Aishah dan Ayai Illusi.

Selain Ramli, peserta GV10 turut diadili oleh guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok