BIJAK berkomunikasi atas pentas dan magis suara kekal unggul. Itu kenyataan tanpa prejudis menggambarkan kualiti dicerna sosok bernama Judika Sabtu lalu.
Malaysia ibarat rumah kedua dan konsert Rockmantic Night Judika & The Gang melazim dan mendekatkan pemilik nama lengkap Judika Nalon Abadi Sihotang itu di mata para peminat di negara ini.
Hampir lima tahun tidak menemui peminat Malaysia, Judika, 45, kembali menghiburkan peminat menerusi dendangan 21 seleksi hitnya.
Tidak berseorangan, persembahan berdurasi sekitar dua jam tersebut turut diserikan dengan kolaborasi dan sinergi bersama penyanyi tempatan seperti Shila Amzah, Marsha Milan dan Haqiem Rusli.
Tidak dilupakan rakan seperjuangan di bawah naungan penganjur, DAD Management iaitu Dnanda, Daniel Pattinama dan Axin yang turut memanaskan malam gilang tersebut.
Momen yang ditunggu-tunggu lebih 12,000 penonton tiba apabila Judika ‘meluncur’ di atas pentas dengan menaiki motor berkuasa besar sambil menyampaikan lagu Bukan Rayuan Gombal.
Restu
Kemunculan anak seni kelahiran Sumatera Utara, Indonesia itu memang sangat dinanti-nantikan peminat yang rindukan suara serak-serak basahnya tiada tolok banding.
Antara lagu lain yang dipersembahkan pada malam persembahan adalah Sampai Kau Jadi Milikku, Jikalau Kau Cinta, Cinta Karena Cinta, Setengah Mati Merindu dan Mama Papa Larang.
Seraya mendendangkan Mama Papa Larang, Judika bercerita tentang percintaan bersama isterinya, Duma yang mendapat tentangan keluarga mentua sebelum mereka bersatu sebagai suami isteri.
“Orang tua saya restu tetapi ibu bapa dia (Duma) tidak bersetuju kerana pekerjaan saya sebagai penyanyi barangkali dipandang rendah dan tiada masa depan.
“Mereka fikir, ada lelaki lain yang lagi kacak dan kewangan lagi stabil untuk berdamping dengan Duma.
“Selepas saya membuktikan kepada orang tua Duma, akhirnya semuanya berubah dan kami bahagia sampai sekarang,” katanya kepada media selepas melunaskan konsert.
Konsert kali ini cukup istimewa buat Judika yang diiringi pasukan orkestra Tohpati dengan bantuan Casa String Entertainment dari Malaysia.
Karya berjudul Putus Atau Terus dinantikan ramai sememangnya sinonim dengan momen galau yang turut mengupas episod hubungan cinta yang rumit. Itu juga diceritakan Judika menerusi magis muzik.
Namun, dia menukar rentak atau melodi lagu tersebut kepada versi rock sebagai satu pembaharuan buat karya yang diluncurkan pada 2020 itu.
Bapa kepada dua orang cahaya mata itu turut menyampaikan lagu Kisah Yang Ku Inginkan (duet bersama Shila Amzah) dan Bukan Dia Tapi Aku (duet dengan Marsha Milan).
Paduan suara Marsha dan Judika cukup memukau membuatkan satu Axiata bergempita dengan sorakan. Tidak kurang ketika dia berduet dengan Shila menyanyikan Kisah Yang Ku Inginkan.
Keluarga sokong
Mungkin persembahan Judika kali ini di Malaysia adalah yang paling istimewa kerana keluarga besarnya ‘terbang’ ke Kuala Lumpur bagi memberikan sokongan terhadapnya.
Bukan sahaja ibu bapa malah, keluarga mentua, isteri dan anak-anak turut hadir bagi menyaksikan hari bersejarahnya itu.
Naib juara Indonesia Idol musim kedua itu juga bijak melayani peminat dan sempat mengusik audiens dengan lelucon semula jadi pada malam persembahan.
Lebih menarik apabila ibunya menunjukkan kemahiran bersiul yang sering dilakukan ketika menyokong anaknya pada Indonesia Idol 18 tahun lalu.
Buat pertama kali, anaknya yang bernama Cloe Deomora Boru Sihotang memberanikan diri melontarkan beberapa rangkap nyanyian di depan lautan audiens yang berangka besar.
Benarlah kata pepatah. Mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Seperti itulah bakat diwarisi Cloe daripada bapanya Judika. Seorang vokalis hebat Indonesia.
Meneruskan persembahan, Judika turut menyampaikan beberapa lagi hitsnya iaitu Aku Yang Terluka, Sampai Akhir, Malaikat, Bagaimana Kalau Aku Tidak Baik-Baik Saja, Tiada Lagi, Tak Mungkin Bersama dan Jadi Aku Sebentar Saja.
Tidak dilupakan adalah karya terbaharunya berjudul Amin Selamanya yang mengisahkan kebahagiaan dengan pasangan.
Pilihan ‘tiga lagu’
Judika juga sempat memberikan kejutan dengan menyanyikan tiga buah lagu hits penyanyi tempatan iaitu Sejati, Cindai dan Mengintai Dari Tirai Kamar (duet bersama Haqiem Rusli).
“Lagu Sejati saya selalu dengar dari dulu kerana sangat menyukai Awie dan kumpulannya, Wings. Cuma, belum pernah saya bawakan secara live.
“Kalau Buih Jadi Permaidani (lagu asal Exists) pula memang sangat popular di Indonesia. Saya juga sukakan melodi lagu tersebut.
“Pemilihan lagu Cindai pula memang saya gemari dari dulu tetapi belum pernah dinyanyikan di sini. Lagu ini paling mencabar kerana liriknya yang panjang,” ujarnya.
Sebagai penutup, Judika menyampaikan lagu Ikan Dalam Kolam yang membuatkan kebanyakan penonton bangun dari tempat duduk tanpa segan silu.
Judika, kekal unggul, kekal ‘keren’. Luar biasa!