Judika janji bawa jiwa ‘rockers’

BUAT pertama kali, penyanyi Indonesia, Judika bakal merealisasikan konsert Rockmantic Night – Judika & The Gang terbitan syarikat sendiri bersama isteri, Duma Riris iaitu Dua Anak Deo (DAD) Management.

Konsert yang turut mendapat kerjasama Kharisma Music International dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 21 Oktober ini.

Pelantun lagu Cinta Karena Cinta itu berharap penonton datang dengan jiwa ‘keras’ supaya dapat menyimpan memori indah sepanjang mengikuti menyaksikan konsert Rockmantic Night – Judika & The Gang kelak.

“Saya ingin semua peminat bukan hanya melihat dan mendengar, tetapi juga dapat merasakan serta tidak akan melupakan rangkaian seleksi galau sebagai penenang jiwa.

“Datanglah dengan jiwa seorang ‘rockers’ yang berani dan penuh semangat tetapi jangan lupa memiliki hati kerana dengan cinta membuat kita rasa bersemangat.

“Semoga konsert ini menjadi antara satu pengalaman yang tidak akan anda dilupakan,” katanya yang tidak sabar bertemu peminat minggu hadapan.

Pemilik nama lengkap Judika Nalom Abadi Sihotang itu juga mengakui sudah bersedia untuk bertemu peminat di Malaysia.

Persembahan romantis

“Persiapan menjelang hari konsert hampir 100 peratus disempurnakan termasuk latihan persembahan bersama pemuzik profesional dan band iringan, perancang grafik dan susunan muzik.

“Saya tidak sabar merealisasikan sebuah persembahan romantis yang bakal menjadi kenangan manis buat semua pengunjung,” katanya lagi.

Judika bakal menyampaikan lebih 15 buah dendangan bawah pimpinan pengarah muzik tersohor Indonesia, Tohpati.

Pengunjung yang ingin menyaksikan Rockmantic Night – Judika & The Gang boleh melayari www.ticket2u.com.my/judika untuk dapatkan tiket Normal Standing memandangkan tiket Gold, Silver, VIP Standing, VIP dan Platinium sudah habis terjual.

Memeriahkan suasana konsert, Judika turut membawakan barisan artis tempatan seperti Haqiem Rusli, Marsha Milan dan Shila Amzah.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok