Jual rumah demi keluarga, Shila Amzah guna kuasa veto

TAMPIL menjelaskan perkara sebenar, penyanyi , Shila Amzah akhirnya bersuara menafikan dakwaan menghalau keluarga dari kediaman miliknya seperti didakwa adiknya, Syada.

Menurut Shila, 33, tidak pernah terniat di hatinya mengabaikan keluarga tersayang sebaliknya mahu mencari kediaman lebih sesuai dan mudah dijaga berbanding sekarang.

Jelasnya, banglo tujuh bilik tidur, tiga rumah kucing dan bersaiz 9,000 kaki persegi itu didiami ibunya, Fauziah Sarman dan empat adik-beradiknya yang lain termasuk abangnya, Syahir dan Syada.

“Rumah yang keluarga didiami itu adalah atas nama saya. Jangan risau, tiada siapa yang kenal halau.

“Saya pikul tanggungjawab menjadi ketua keluarga ketika ini dan nak jual rumah itu supaya boleh beli rumah yang lebih baik untuk mereka diami,” katanya ketika membuat siaran langsung TikTok semalam.

Tambah pelantun lagu Patah Seribu itu, rumah terbabit menyimpan pelbagai memori pahit keluarga dan kerana itu dia mahu mencari kediaman baharu.

“Rumah itu penuh dengan elemen kehidupan kurang elok ditambah kisah silam yang mungkin kita tak mahu ingat. Apabila ibu bapa bercerai, rumah itu ada kenangan yang tak baik,” ujarnya.

Tambah Shila lagi, dia akan mencari rumah sewa untuk keluarganya dalam masa terdekat.

“Jangan risau, saya akan cari rumah sewa untuk keluarg.

“Saya sedang mencari kondominium yang lebih selamat serta mudah dijaga untuk ibu dan adik-adik diami,” jelasnya.

Tegas dengan keputusannya, bekas peserta Gegar Vaganza musim kesembilan itu akan menggunakan kuasa veto dalam hal tersebut selain menganggap dirinya sebagai ketua keluarga.

“Tidak ada perbicangan antara kami sebab yang perlu menjaga rumah itu adalah saya juga.

“Kenapa saya yang bersalah sedangkan hanya nak beri yang terbaik untuk keluarga.

“Saya sudah jadi ketua keluarga sebab tak ada orang nak pikul tanggungjawab ini. Daripada biarkan rumah tak dijaga, lebih baik jual tetapi masing-masing buat saya nampak jahat,” tuturnya.

 

Sejak semalam, media sosial kecoh apabila Syada memuat naik status mempersoalkan rumah yang didiaminya bersama ibu mahu dijual.

Dia turut meluahkan kekecewaan apabila menyamakan situasinya seperti haiwan jalanan yang tidak mempunyai rumah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok