‘Harry Boy’ selamat disemadikan

KUALA LUMPUR – Jenazah pelakon yang terkenal dengan watak Harry Boy, Allahyarham Badrul Muhayat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda, Batu Cave sekitar pukul 9.45 pagi tadi.

Jenazah pelakon itu selesai dimandi dan dikafankan di Masjid Al-Hidayah, Sentul di sini, sebelum disembahyangkan dengan dihadiri lebih 100 orang termasuk ahli keluarga dan rakan selebriti.

Antara selebriti yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir ialah Presiden Seniman, Zed Zaidi, Azhar Sulaiman, Azri Iskandar dan Didie Alias.

Pagi semalam, Allahyarham Badrul atau nama sebenarnya, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, meninggal dunia dalam tidur di sebuah inap desa di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Badrul meninggalkan seorang balu, Norhayati yang baru dinikahi pada 18 April lalu.

Allahyarham juga meninggalkan dua cahaya mata, hasil perkahwinannya yang terdahulu masing-masing berusia 14 dan 16 tahun.

Selaim filem Harry Boy terbitan 1991, Badrul juga masih diingati menerusi filem Riang Tirana (1990). – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok