Irama ‘jedag jedug’ resipi Bagindas tawan peminat

KEMENJADIAN penampilan kumpulan Bagindas pada konsert Kangen Band yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 2 September lalu membawa tuah tersendiri.

Tidak terhenti sekadar mengisi jemputan persembahan, kumpulan asal Indonesia itu diundang pula menghiburkan peminat Malaysia menerusi Konsert Bagindas Live In Kuala Lumpur: Suka Sama Kamu yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, 30 November ini.

Band yang sebelum ini dikenali sebagai D’Bagindas sebelum menukar nama menjadi Bagindas itu tetap bertahan meskipun ahli kumpulannya bertukar ganti.

Meskipun perubahan nama itu pada awalnya ditentang peminat sehingga mendapat ugutan bunuh, namun masa bergulir, peminat sudah mula merestui bahkan memahami hakikat patah tumbuh hilang berganti.

Populariti diraih kumpulan yang dianggotai empat anggota kumpulan iaitu Andra, Wendy, Fery dan Ragil itu masih ‘wangi’ sebagai antara band terbaik Indonesia.

Deretan album dan lagu yang pernah didendangkan kumpulan itu juga masih menjadi siulan peminat hingga ke saat ini.

BAGINDAS bakal menghiburkan peminat dengan deretan lagu-lagu popular mereka menerusi tiga segmen eksklusif.

Ubat rindu peminat

Rindu kepada peminat, tentu sahaja Bagindas tidak sabar untuk mendendangkan lagu bernuansa cinta yang pernah dirakamkan mahupun dinyanyikan semula mereka.

Menurut penganjur, Purosangue Entertainment, pihaknya yakin konsert tersebut bakal mencetuskan satu lagi fenomena memandangkan rantaian lagu Bagindas boleh dikatakan sudah sebati dalam jiwa pencinta muzik tanah air sejak daripada dahulu lagi.

“Bagindas bukanlah kumpulan yang asing dalam kalangan pencinta muzik tanah air malah kebanyakan lagu-lagu mereka cukup melekat dan menjadi pujaan peminat di kedua-dua negara baik Malaysia mahupun Indonesia.

“Jadi, melihatkan sambutan dan sokongan padu yang diberikan kepada Bagindas membuatkan kami cukup yakin untuk menganjurkan konsert ini, kami yakin Bagindas akan memukau seluruh penonton yang hadir pada malam itu nanti.

“Berbekalkan kredibiliti yang dimiliki Bagindas, mereka lebih daripada mampu untuk membawa peminat larut dalam kemerduan dan keasyikan lagu yang bakal didendangkan,” ujarnya.

Mewakili Bagindas, vokalisnya, Andra berkata, Malaysia sentiasa menjadi pentas yang dinanti-nantikan untuk untuk konsert.

“Selama ini kami sentiasa menunggu peluang mengadakan konsert sulung di Malaysia malah sentiasa menerima permintaan daripada peminat yang mahu kami datang ke Malaysia menjayakan konsert.

“Ibarat bulan jatuh ke riba, kami menganggap tahun in adalah waktu dan rezeki yang tepat untuk bertemu dengan peminat Bagindas,” katanya.

Tampil kelainan

Bagindas memaklumkan bakal mendendangkan lebih 16 buah lagu termasuk Suka Sama Kamu, C.I.N.T.A dan banyak lagi yang akan dibahagi kepada tiga segmen. Menariknya, konsert tersebut bakal digemakan dengan muzik remix jalinan kolaborasi bersama DJ Rycko Ria bertepatan cita rasa pendengar yang gemar dengan lagu berkonsep ‘jedag jedug’.

Kata Wendy yang juga pemain bass Bagindas, mereka sentiasa melakukan inovasi dan garapan muzik yang segar seiring peredaran zaman.

“Menjelang konsert kelak, dapat dilihat bagaimana ramuan muzik Bagindas terus berkembang dan mengikuti aliran zaman.

“Kami bisa bertahan kerana rasa penasaran (ingin tahu) terhadap trend muzik sekarang yang tidak bisa diramal, kami suka bereksperimentasi. Itu kelainan yang bakal kami bawakan,” katanya.

Tiket-tiket menyaksikan Konsert Bagindas Live In Kuala Lumpur: Suka Sama Kamu dijual pada harga serendah RM139 sehingga RM3600 (VIP Box). Tiket boleh didapati di laman web www.purosangue.live

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok