Ira Kazar belajar masak, takkan saya nak halau – Nur Nilam

ISTERI pelakon Azlan Komeng, Nur Nilam Ortiz membuat laporan polis berikutan menerima ugutan bunuh selepas bersiaran secara langsung dalam aplikasi TikTok bersama Ira Kazar baru-baru ini.

Pelakon dan pempengaruh media sosial itu berkata, dia dan suami nekad melaporkan perkara itu selepas mendapat nasihat pelbagai pihak termasuk keluarga Ira bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Ugutan itu sangat teruk kerana menyentuh soal nyawa. Mereka ugut mahu bunuh dan simbah asid.

“Ira ada mesej minta maaf, dia tak sangka jadi begini. Malah, keluarganya juga menasihati kami supaya segera buat laporan polis,” katanya kepada HibGlam.

Tegas Nur Nilam,  andai ada pihak mendakwanya mempertahankan Ira ketika siaran langsung dalam media sosial pada Isnin lalu, tanggapan itu tidak benar sama sekali.

Malah hampir 80,000 pelayar yang mengikuti sesi tersebut dapat melihat keseluruhan perkongsian terbabit bukan memihak kepada sesiapa, jauh sekali cuba masuk campur.

“Macam saya tegaskan sebelum ini, saya buat ‘live’ ketika Ira datang ke rumah saya. Dia pernah rasa air tangan saya dan datang nak belajar masak masakan Thailand.

“Dia dan Azlan banyak berborak tentang isu semasa, langsung tak sentuh soal dia dengan suami atau pun orang lain.

“Lagipun saya buat ‘live’ sambil borak dengan kawan-kawan di TikTok untuk teman mereka berbual. Tak sangka pula ada netizen tuduh bukan-bukan dan mengugut saya.

“Tetamu datang bertandang, kita santuni sebaik mungkin. Tak ada niat pun nak ‘backup’ Ira sebab saya pun tak berminat nak masuk campur urusan peribadi orang lain,” ujarnya.

Akui pelakon yang aktif menjual sos siam secara atas talian itu, dia bercakap secara berdepan dengan Ira terutama apabila menyentuh soal kifarah, bukan mempertahankan wanita terbabit.

“Banyak akaun palsu yang sengaja mengada-adakan benda yang tiada. Kalau kata saya  sokong, terang-terangan depan dia saya sebut dia dah kena kifarah.

“Kalau cakap nak popular, benda ini tak menguntungkan saya pun. Memang betul dia datang nak belajar masakan Thailand, takkan saya nak halau?

“Lepas selesai ajar, sementara tunggu suami dia datang ambil dia bercakap dengan Azlan sambil saya buat ‘live’, itu sahaja,” katanya lagi.

Pada masa sama, Nur Nilam mengambil pendekatan lebih berwaspada memandangkan adanya ramai pemilik akaun media sosial palsu yang tidak berpuas hati dengan isu Ira.

Terdahulu, Nur Nilam muncul bersama isteri kepada pengarah terkenal Syamsul Yusof itu menerusi sesi siaran langsung di TikTok pada Isnin lalu yang mencetuskan rasa kurang senang netizen.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok