Iqbal Zulkefli tak sangka dipuji guru vokal boleh menyanyi

USAHAWAN sensasi, Iqbal Zulkefli seakan-akan tidak percaya apabila dipuji memiliki kebolehan menyanyi daripada 10 guru vokal yang ditemuinya.

Kata Iqbal atau nama lengkapnya Ahmad Iqbal Zulkefli, 29, selain dimaklumkan berbakat dalam seni suara, dia juga diberitahu memiliki karakter atau ciri khas suara yang tersendiri.

“Kesemua guru vokal yang saya jumpa, dalam 10 orang, kesemuanya kata saya boleh menyanyi. Saya pun macam tidak percaya. Tetapi mereka semua profesional dan lebih tahu menilai.

“Semua guru vokal kata, suara saya ada karakter atau ciri khas,” katanya menerusi hantaran yang dikongsikan dalam InstaStory miliknya.

LAYAR tangkap perkongsian Iqbal di InstaStory mengenai pandangan guru vokalnya.

Ujar Iqbal yang juga mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan itu lagi, selain dipuji memiliki ciri vokal khas, guru vokal terkenal, Cikgu Shafi berkata dia memiliki sebutan yang fasih selain berjiwa kental.

Bagaimanapun, kekurangannya adalah terlalu banyak berfikir, sehingga tidak dapat fokus ketika menyanyi.

“Cikgu Shafi puji saya fasih menyebut satu persatu perkataan dan berjiwa kental. Cuma dia tegur, saya terlalu banyak berfikir sehingga tidak dapat fokus.

“Satu lagi, mata saya terlalu cepat ‘tangkap’ berbanding telinga. Memang betul. Sewaktu di atas pentas mata saya nampak keseluruhannya, sehingga bulu hidung pun saya boleh nampak,” kata Iqbal.

Dalam pada itu, bekas pembantu peribadi kepada usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida itu memberitahu, dia memerlukan masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk belajar teknik nyanyian secara konsisten untuk bergelar seorang penyanyi yang baik.

“Jika saya betul-betul mahu menyanyi, sekurang-kurangnya saya perlukan lima tahun untuk belajar secara konsisten.

“Saya sedar diri. Tetapi saya seorang yang suka belajar. Sebenarnya berapa peratus sahaja penyanyi rakaman yang berani menyanyi di pentas. Penyanyi pentas itu, bakatnya jauh berbeza dengan penyanyi rakaman,” jelasnya.

Tahun lalu, Iqbal menuai perhatian masyarakat selepas menyertai pertandingan Big Stage musim keempat (BS4) sekali gus menjadi peserta tambahan ke-12 yang tidak disangka-sangka.

Bagaimanapun, Iqbal diumumkan sebagai peserta BS4 pertama yang tersingkir pada konsert mingguan kedua.

Iqbal juga pernah melahirkan single sulungnya berjudul Hujan pada 2021. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok