Ikutkan Liza Hanim juara, tapi potong lima markah – Ramli MS

JURI tetap program All Stars Gegar Vaganza musim ke-10 (GV10), Datuk Ramli MS berkata, penyanyi Liza Hanim sepatutnya layak menduduki tempat pertama dalam konsert minggu keempat malam tadi, namun markahnya terpaksa dipotong lima mata sekali gus berada di tempat kedua.

Kata maestro muzik itu, markah Liza dipotong kerana menyanyikan Madah Berhelah, lagu asal dendangan rakan duetnya, Ziana Zain.

“Markah persembahan Liza Hanim bersama Ziana Zain terpaksa dipotong sebanyak lima markah sebab dia menyanyikan lagu asal milik rakan duetnya.

“Secara rasional, penyanyi asal lagu itu telah biasa menyanyikan lagu tersebut. Jadi dia ‘tidak bekerja’.

“Kalau markah persembahan Liza Hanim tidak dipotong, pasti dia berada di  tempat pertama,” kata Ramli.

Kata Ramli lagi, keputusan itu diambil kerana dia perlu bersikap adil kepada peserta lain yang menyanyikan lagu milik artis lain.

“Selain Liza Hanim, ada empat penyanyi lain kalau tidak silap saya turut dipotong markah kerana menyanyikan lagu milik rakan duet mereka,” katanya.

Menerusi konsert minggu keempat GV10 malam tadi, penyanyi Noryn Aziz yang menyampaikan lagu I Am Very Woman bersama Liza Aziz menduduki tempat pertama dengan markah sebanyak 85.25 peratus.

Manakala Liza Hanim yang menduduki tempat kedua pula cuma kalah tipis apabila memperoleh markah sebanyak 85 peratus dengan perbezaan cuma 0.25 peratus.

Konsert minggu keempat GV10 malam tadi turut menyaksikan Datuk Aishah berada di kedudukan terbawah, sekali gus menjadi peserta ketiga yang tersingkir. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok