Iedil Dzuhrie cari makan di Indonesia guna kabel isteri?

SEJAK mendirikan rumah tangga bersama aktres dari seberang, Prisia Nasution pada 2016, aktor yang kini menggunakan nama pentas sebagai Iedil Dzuhrie Alaudin mengambil keputusan berhijrah dan menetap di Jakarta, Indonesia.

Dahulu dikenali sebagai Iedil Putra, aktor Interchange itu punya alasan tersendiri menjadikan tanah tumpah darah sebagai ‘rumah kedua’.

Selain atas faktor si isteri berasal dari Indonesia, dia juga mahu melebarkan sayap kerjayanya sebagai pelakon ke negara ‘garuda’ itu.

Kata Iedil atau nama lengkapnya Tengku Iedilzuhrie Putra Tengku Alaudin, isterinya yang dahulu dikenali sebagai pelakon, mula bergiat aktif dalam bidang pengarahan sebagai sutradara.

Sebagai tanda sokongan suami terhadap isteri, Iedil tiada masalah meninggalkan Malaysia untuk berada di sisi isteri tercinta, selain dapat mengembangkan kerjaya lakonannya di sana.

“Saya kini memang sudah menetap di Jakarta. Saya tidak membawa isteri untuk tinggal di Kuala Lumpur kerana bagi saya, peluang di sana lebih ‘baharu’ untuk diri sendiri.

“Lagi pula isteri sekarang sudah aktif dalam pengarahan. Jadi lebih baik jika kami kekal menetap di sana (Jakarta),” ujarnya.

Biarpun dianggap ‘bangsa asing’ yang tinggal di negara orang, Iedil mengakui masih diterima baik pemain industri di sana. Malah, dia menafikan menggunakan pengaruh isteri untuk mendapatkan peluang berlakon filem di Indonesia.

“Walaupun di Indonesia telah dibanjiri ramai pelakon hebat, namun mereka masih terbuka mengalu-alukan pelakon dari Malaysia.

“Alhamdulillah saya masih mendapat tawaran untuk terlibat dengan produksi di sana. Masa awal-awal dahulu agak susah. Tapi lama-kelamaan, kehadiran saya mula disedari.

“Malah, mereka sudah pun anggap saya sebagai pemain industri di sana. Saya tidak dianggap sebagai orang luar. Kalau saya dianggap orang luar sekali pun mungkin kerana perbezaan pasport,” kata Iedil yang juga anak kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Tengku Alaudin Tengku Abdul Majid itu.

Sejak berkahwin, Iedil perlu membiasakan diri dengan budaya masyarakat di sana. Walaupun dikatakan serumpun, namun budaya masyarakat di Indonesia banyak perbezaan dengan di Malaysia.

Bahkan, budaya isterinya yang berdarah suku Batak dan Jawa juga memiliki keunikan tersendiri yang dilihat menarik untuk diadaptasi.

“Isteri saya berketurunan separuh Batak dan separuh Jawa. Perkara itu sangat baharu buat saya. Malah, latar belakang isteri juga beragama. Keluarganya beragama Kristian, manakala ibunya pula Muslim.

“Jadi, dia masuk Islam. Tapi kami tetap merayakan Hari Natal (Krismas) dan Aidilfitri. Bagi saya itu adalah keberagaman yang menarik. Itulah antara kebudayaan yang saya perlu pelajari di sana,” katanya.

Ketika disoal tentang cahaya mata, Iedil berkata dia dan isteri masih belum punya rezeki untuk dikurniakan zuriat. Namun perkara itu tidak menjadi masalah besar bagi mereka untuk meneruskan kehidupan sebagai suami isteri.

“Selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga, kami masih belum dikurniakan cahaya mata. Lagi pun kami tidak merancang.

“Kalau ada, adalah. Cuma sekarang masing-masing Tengah sibuk. Isteri pun baru nak berjinak-jinak menjadi sutradara.

“Doa-doakanlah. Umur pun semakin lanjut. Apa-apa pun, kami jenis santai. Keluarga pun tidak pernah bertanyakan soal zuriat,” katanya yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem berjudul My First Love, arahan isterinya sendiri. – HIB GLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok