Ibu mentua tak pernah menghakimi saya – Elisya Sandha

“ALHAMDULILLAH, saya dapat ibu mentua yang sangat baik dan tidak pernah menghakimi saya.”

Demikian perkongsian pelakon Elisya Sandha yang mengakui bersyukur dikurniakan ibu mentua sangat memahami dirinya meski teruk dikecam netizen gara-gara berimej seksi baru-baru ini.

Elisya ketika ditemui HibGlam berkata, sepanjang bergelar menantu kepada aktres dan penerbit terkenal Sheila Rusly dua tahun lalu, tidak pernah sekalipun wanita dihormatinya itu menghakimi dirinya berdasarkan pemakaiannya.

“Ibu mentua saya sangat baik dan sentiasa positif. Dari dulu dia tak pernah menghakimi saya, mentua saya faham dunia hiburan.

“Dia tahu saya bukan wanita yang selalu berpenampilan seksi. Apa yang saya pakai baru-baru ini adalah atas tuntutan kerja untuk sebuah majalah,” katanya usai pelancaran program Unifi TV Original, petang tadi.

Elisya, 23, yang dikecam berikutan penampilannya dikatakan terlampau seksi bagaimanapun tidak melatah biarpun ramai meninggalkan komen dilaman sosial miliknya dengan mendakwa dia tidak menjaga nama baik Sheila.

Lebih memburukkan keadaan, ada segelintir netizen cuba mengapi-apikan hubungan Sheila dan Elisya berikutan isu itu.

“Ada juga baca komen mereka sampai terdetik dalam hati, mama (Sheila) kena marah ke? Tetapi apabila difikirkan semula, saya lebih kenal ibu mentua orangnya macam mana.

“Dia faham kerja saya, malah suami saya pun tidak menegur hantaran tersebut.  Kalau dia tegur, saya akan padam dan ganti dengan hantaran baharu,” kata istei kepada  Uzair Haqimy itu.

Menyentuh perihal gaun yang mengundang kecaman ramai itu, pelakon drama Gemersik Berbisik terbabit berkata dia perlu berani berpenampilan seksi agar selari dengan konsep fotografi yang sudah ditetapkan produksi.

“Kenalah berani untuk tampil berbeza, saya pun mahu cuba sesuatu sesuatu yang lebih mencabar. Lagipun,  ini untuk majalah antarabangsa.

“Tetapi seksi saya masih ada batas. Kalau baju tanpa lengan saya tak akan pakai tetapi disebabkan ini promosi global maka saya bersetuju.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok