Hrithik Roshan gegarkan Bukit Jalil Disember depan

SELEPAS menerima sambutan luar biasa lapan tahun lalu, hujung tahun ini aktor terkenal Bollywood, Hrithik Roshan bakal mengubat rindu peminatnya di Malaysia.

Impian tersebut direalisasikan Yess Boss Groups yang menganjurkan Stars In Fire Kuala Lumpur Live In Concert pada 1 Disember depan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Istimewanya, aktor papan atas Bollywood itu akan menampilkan konsert spektakular dengan diiringi barisan penari hebat bersama koreografi tarian yang dinanti-nanti ramai.

Bakal mencipta sejarah, kesemua tarian Hrithik akan ditemani penerbit dan aktor Prabhudeva yang juga seorang pengarah koreografi tersohor India.

Pengarah Urusan Yess Boss Groups, Shahkeer Azzat Zailan menggambarkan konsert Hrithik merupakan suatu pengalaman yang mengujakan.

SELEPAS lapan tahun, Hrithik Roshan kembali ke Kuala Lumpur bagi mengubat kerinduan peminat dengan konsert spektakular yang diiringi barisan penari hebat.

Bintang filem Kaho Na Pyar Hai itu juga tidak sabar bertemu peminat Malaysia yang dikata menyambut kehadirannya dengan baik pada 2015 lalu.

“Membawa Hrithik Roshan kembali ke Malaysia selepas lapan tahun adalah sebuah misi yang sangat mengujakan.

“Ini akan menjadi penanda aras buat kami yang diberi kepercayaan Dembi Productions dan Yess Boss Groups untuk merealisasikan impian peminat melihat skil tarian dan penampilan memukau Hrithik.

“Hrithik juga sangat berbesar hati kembali ke Malaysia dan melerai kerinduan terhadap peminat di sini yang memberi sokongan bukan dari kerjaya seni malah menghargai dirinya sebagai seorang individu,” katanya.

Kemunculan selebriti lain

Lebih manis, Stars On Fire Kuala Lumpur In Concert turut membawakan pasangan selebriti kesayangan ramai iaitu Bharti Singh dan Harsh Limbachiyaa untuk menyerikan acara pembukaan konsert tersebut.

Shahkeer juga berharap Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert akan menjadi konsert penutup 2023 yang penuh gilang-gemilang dengan pengaruh seni Bollywood tiada tandingan.

“Dalam lambakan muzik atau konsert yang diadakan sepanjang tahun ini, Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert akan menjadi penanda aras bahawa aliran Bollywood sentiasa dinantikan.

“Ramai peminat dahagakan penampilan bintang kesayangan mereka termasuk Hrithik yang sememangnya mempunyai pengaruh luar biasa di Malaysia,” ujarnya lagi.

Acara turut diserikan dengan kemunculan beberapa selebriti lain seperti Aastha Gills, Vaani Kapoor dan juga Sanya Malhotra.

Peminat boleh mendapatkan tiket yang mula dijual pada 19 Oktober lalu berharga RM149 (Silver), RM249 (Gold), RM549 (platinium), RM649 (Blue Saphire) dan RM3,500 (VIP).

Tiket boleh didapati melalui laman sesawang www.yessbossticket.com atau hubungi talian hotline 011-1154 6805. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok