Hiburan tidak salah, jangan melebih – Haqiem Rusli

DIANGKAT sebagai juara minggu kedua program Famili Duo musim ketiga (FD3), pasangan duo Haqiem Rusli dan Ariff Bahran masih menjaga batasan ketika beraksi agar tidak keterlaluan dalam berhibur.

Haqiem atau nama lengkapnya Ridzuan Haqiem Rusli, 25, menganggap persembahan mereka yang menyampaikan lagu kemanusiaan adalah antara cara untuk bersolidariti buat Palestin.

“Hiburan tidak salah. Cara pembawakan kita yang menunjukkan sama ada ke arah negatif atau positif.

“Mungkin dengan persembahan kami boleh dikatakan hiburan tidak salah, jangan berlebihan-lebihan,” katanya ditemui usai persembahan FD3, malam tadi.

PASANGAN sepupu, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran berjaya membuatkan penonton dan juri tersentuh hati dengan persembahan mereka.

Ariff pula berkata, sebagai selebriti mereka harus menggunakan semua platform yang ada untuk menyebarkan kebaikan terutamanya membabitkan isu Palestin.

“Kita ada kuasa dan pengaruh. Jadi gunakan kelebihan itu untuk menyebarkan kebaikan kepada orang lain.

“Kita jalankan tanggungjawab sebagai saudara seagama apatah lagi tindakan mereka (Zionis) terhadap rakyat Palestin memang salah.

“Saya sendiri tidak mampu menahan sebak melihat video kanak-kanak dan perempuan dibunuh,” ujarnya.

Semalam, Haqiem dan Ariff berjaya memenangi hati juri dan penonton sehingga diangkat sebagai juara minggu kedua FD3 sekali gus mengetepikan lima pasangan lain.

Pasangan sepupu itu menyampaikan lagu medley Earth Song dan We Will Not Go Die yang melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

FD3 menyaksikan enam pasangan duo dengan ikatan kekeluargaan berentap selama lapan minggu untuk meraih gelaran juara dengan hadiah RM100,000 pada malam kemuncak.

Pemenang konsert mingguan FD3 dipilih berdasarkan pemarkahan juri sebanyak 70 peratus, manakala undian dalam talian menerusi Tonton pula 30 peratus. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok