PELAKON Yana Samsudin mendedahkan dirinya kini hamil enam bulan dan kerap keluar masuk hospital berikutan masalah alahan.
Katanya, dia tiada niat mahu menyembunyikan kehamilan cahaya mata ketiganya itu kerana pernah melalui tiga keguguran sebelum ini.
“Sebelum ini hamil anak yang pertama dan kedua suami umumkan, tapi kandungan ketiga ini saya tak maklumkan kepada sesiapa pun tetapi kalau ada orang tanya saya tak berahsia.
“Sejak anak pertama dan kedua saya tak hebohkan sebab saya ada masalah sindrom ovari polisistik atau PCOS yang berkaitan kesuburan.
“Pernah tiga kali keguguran, jadi ketika awal kandungan saya ikut petua orang lama jangan hebohkan. Ikut jangkaan Januari atau awal Februari tahun depan saya bersalin,” katanya selepas pelancaran produk minuman oat Bagoos, semalam.
Berkongsi lagi mengenai keadaan kesihatannya, Yana atau nama lengkapnya Norliana Samsudin, 39, mendedahkan kehamilan kali ini sarat dugaan termasuk dijangkiti influenza A.
“Saya alami alahan yang sangat teruk hingga terbaring saja dan tiada selera kerana muntah serta loya, sekali gus kekurangan air dalam badan sampai kerap ditahan di wad.
“Selepas kandungan masuk bulan kelima tiada lagi alahan, tetapi dijangki virus influenza pula. Memang kuat dugaan mengandung kali ini.
“Sekarang saya dah kembali aktif, dapat masuk pejabat dan hari ini lancarkan minuman oat Bagoos keluaran syarikat sendiri yang telah setahun melalui proses R&D (penyelidikan dan pembangunan). Alhamdulillah,” ujarnya.
Akui bintang filem Bini Biniku Gengster itu, buat permulaan Bagoos yang dikeluarkan dalam tiga perisa menggunakan konsep jualan menerusi ejen.
Perkahwinannya dengan Fadzil sejak Februari 2015 dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aisy Mateen, 7, dan Aura Aisy Sofea, 3. – HIBGLAM