Hajat ayah tak kesampaian – anak Bad Indigo

ANAK sulung Allahyarham Bad Indigo, Rayyan mendedahkan hajat bapanya menghadiahkan but bola sepak kepadanya tidak kesampaian apabila pergi dahulu menghadap Ilahi.

Rayyan, 14, ketika ditemui di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya berkata, itu adalah perbualan terakhir mereka sebelum bapa tercinta menghembuskan nafas terakhir pukul 7 malam, semalam.

“Perbualan terakhir dengan ayah adalah petang semalam (siang). Ayah tampak ceria seperti biasa.

“Ayah cakap, dia nak belikan but bola untuk saya, tapi dalam dua hari lagi. Tak sangka Ayah pergi dulu menghadap Ilahi” katanya kepada HibGlam.

Rayyan bersama adiknya, Rania, 13, kini tinggal bersama ibu mereka di Muar, Johor dan bergegas ke Petaling Jaya selepas dimaklumkan berita kematian itu.

“Lepas tahu ayah dah tiada, kami sekeluarga terus bergegas ke sini untuk tengok jenazah ayah,” ujarnya.

Jenazah Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah disempurnakan di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara untuk dikebumikan selepas solat Jumaat.

Allahyarham meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas di tempat kerjanya di Reiber Auto di Bukit Permai, Ampang, Selangor.

Arwah yang berusia 48 tahun kehilangan kesemua jari kaki kiri sejak Mac tahun lalu akibat kencing manis. — HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok