[VIDEO] Hafidz Roshdi jalani rawatan bipolar sejak tiga tahun lalu

“SAYA menerima rawatan gangguan bipolar sejak tiga tahun lalu.”

Demikian pendedahkan pelakon, Hafidz Roshdi yang mengakui menerima rawatan gangguan bipolar iaitu perubahan emosi melampau di Hospital Shah Alam, Shah Alam sejak tiga tahun lalu.

Menurut pemilik nama penuh Muhammad Hafidz Roshdi, 28, kesihatan mentalnya kini stabil namun masih perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital.

“Keadaan kesihatan saya sekarang okey, Alhamdulillah.

“Saya sudah rujuk dengan pihak hospital untuk masalah kesihatan mental saya iaitu bipolar sejak tiga tahun lalu.

“Saya perlu dapatkan rawatan dan preskripsi ubat selain perlu memeriksa kestabilan hormon,” katanya kepada HibGlam di pekarangan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor hari ini.

Ditanya mengenai harapannya terhadap kes dakwaan memukul dan mencederakan bekas isteri, Nurul Shuhada, dia hanya menyerahkan segalanya kepada Tuhan.

“Saya serahkan semuanya kepada Yang Esa dan semoga keputusannya baik-baik sahaja,” ujarnya.

Berkongsi perkembangan kerjaya seni, aktor tersebut menzahirkan rasa syukur kerana masih menerima tawaran lakonan meskipun dirinya terkait kes jenayah dan perceraian baru-baru ini.

“Aktiviti seni masih berlangsung seperti biasa. Ada tawaran yang masuk tetapi kebanyakannya masa tidak mengizinkan.

“Tiada masalah sekiranya ada pihak yang nak tawarkan saya berlakon, insya-Allah,” jelas bintang drama Melastik Ke Hatimu itu.

Hari ini, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu menetapkan 6 dan 7 Februari 2024 sebagai tarikh perbicaraan Hafidz yang didakwa atas pertuduhan mencederakan bekas isterinya pada Mac lepas.

Mahkamah pada 9 Jun lalu diberitahu, Hafidz disahkan waras oleh Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak dan pertuduhan yang didakwa ke atasnya layak dibicarakan.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Shah Alam pada 27 Julai lalu mengesahkan lafaz cerai talak satu yang dibuat Hafidz terhadap Shuhada secara lisan pada 22 Februari adalah sah dan mengikut hukum syarak.

Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok