DEMI menjayakan watak dalam drama pertama lakonannya, My Famous Ex-Boyfriend, penyanyi Hael Husaini sanggup menurunkan berat badan daripada 57 kilogram (kg) kepada 50 kg dalam tempoh seminggu.
Kongsi pemilik nama penuh Hal Husaini Razmi , 36, itu, perkara tersebut adalah inisiatifnya sendiri untuk watak Haque Zuhal selain mendapatkan tubuh badan yang lebih kurus berbanding sebelum ini.
“Saya ambil pendekatan berdiet selama seminggu semata-mata untuk tampak lebih kurus,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media drama My Famous Ex-Boyfriend, semalam.
Tambahnya yang popular dengan lagu Jampi, menerusi diet tersebut, dia hanya mengambil makanan berasaskan sayur-sayuran.
“Setiap hari makan sayur-sayuran saja.
“Pengurus pun tegur dan cakap saya dah macam kambing sebab setiap hari makan sayur sahaja.
“Namun, cara ini berkesan dan dapat turunkan berat badan dengan cepat,” ujarnya.
Selain Hael, drama arahan Hadith Omar itu turut dibintangi Qasrina Karim dan Nadhir Nasar.
My Famous Ex-Boyfriend merupakan drama pertama yang dibintangi Hael selepas lebih sedekad bergelar anak seni. – HIBGLAM