Had seksi Trisha Ooi

HADIR dengan pakej lengkap sebagai heroin pelapis yang bukan sahaja mampu menzahirkan lakonan dengan baik, rupawan dan berkebolehan dalam aksi seni pertahanan diri, Trisha Ooi, 23  pantas menarik perhatian khalayak.

Mencipta nama menerusi drama Tentang Hati Dia, Trisha bagaimanapun menolak untuk dikenali dengan imej seksi.

Malah menurut Trisha atau nama sebenarnya, Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, di luar skrin televisyen mahupun filem, dia hanyalah seorang wanita yang ringkas.

“Saya tidak seksi, jika pakai gaun pun saya rasa sudah cukup seksi (ketawa). Tetapi saya boleh seksi bersebab, contohnya demi watak dalam drama atau filem.

“Dalam filem Pagari Bulan saya berkemban, tetapi untuk watak itu sahaja. Di luar saya masih Trisha yang ringkas dan agak lasak. Pemakaian saya juga biasa-biasa sahaja,” ujarnya.

Disoal, sejauh manakah limitasinya sebagai pelakon untuk seksi dalam sesebuah naskhah, termasuklah jika ditawarkan naskhah dari luar negara, begini jawabnya:

“Kalau saya diminta untuk berbikini dalam filem luar negara memang saya tolak. Saya rasa tidak sesuai orang Timur berbikini.

“Tetapi jika diminta untuk pakai seluar pendek atau singlet untuk watak aksi saya boleh pertimbangkan tetapi jika boleh saya akan cuba elak untuk seksi berlebihan,” kongsi Trisha.

TRISHA Ooi menjadi rebutan syarikat produksi dan kini terbabit dengan penggambaran drama Menanti Senja di samping aktor hebat Faizal Hussein

Tanpa sebarang cerita panas mahupun jumlah pengikut yang ramai di laman sosial, Trisha boleh dianggap bertuah apabila mendapat kepercayaan pihak stesen televisyen dan ramai penerbit.

“Saya sendiri bagai tidak percaya, dalam tempoh dua tahun menjadi pelakon, rezeki saya terbuka luas dan perjalanan karier juga berjalan dengan agak mudah.

“Sebelum ini memang ada isu kononnya perlu ada pengikut yang ramai untuk berlakon drama, tetapi saya membuktikan sebaliknya.

“Jadi, setiap rezeki yang datang saya beri usaha dan komitmen lebih 100 peratus kerana sedar bukan mudah untuk mendapat kepercayaan tersebut,” ujar Trisha yang kini rancak menjalani penggambaran drama Menanti Senja bersama bintang hebat Faizal Hussein, Sherie Merlis, Johan As’ari, Kodi Rasheed Khatijah Tan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok