Gigi Hadid tak betah lihat rakyat Palestin, Yahudi terkorban

“EMPATI saya yang amat mendalam terhadap kesengsaraan yang dialami rakyat Palestin.”

Demikian luahan supermodel berketurunan Palestin, Gigi Hadid cukup terkesan dengan peperangan yang meletus antara Palestin dan Israel.

Gigi atau nama sebenarnya, Jelena Noura Hadid, 28, berkata, dalam pada dia ingin melihat negara kesayangannya Palestin bebas daripada cengkaman Zionis, tidak pernah terlintas dalam fikiran melihat rakyat Israel menderita.

“Dalam  harapan dan impian saya  untuk Palestin, tiada langsung sekelumit rasa untuk melihat orang Yahudi tercedera,” katanya menerusi hantaran status dalam Instagram.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Gigi Hadid (@gigihadid)

Menerusi perkongsian sama, Gigi menegaskan, mengorbankan nyawa rakyat yang tidak bersalah tidak senada dengan kempen atau gerakan Free Palestine.

“Tiada kebaikan datang dengan mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah kononnya demi gerakan Free Palestine.

“Kalau kalian disakiti, doa dan takziah saya buat anda tidak kisahlah sama ada orang Palestin ataupun Yahudi. Siapa pun dan di mana pun kalian berada.

“Saya tahu apa yang saya katakan takkan pernah cukup atau mampu menyembuhkan luka ramai orang tetapi saya doa untuk keselamatan nyawa-nyawa yang tidak bersalah,” kata kakak kepada Bella Hadid itu.

Krisis kemanusiaan kian genting di Gaza selepas penduduk kini terkepung dengan ramai yang terputus bekalan makanan dan elektrik ketika memasuki hari keenam serangan udara tentera Zionis, lapor saluran berita CNN.

Angka kematian sejak serangan besar-besaran pejuang Hamas ke atas Israel awal Sabtu lalu mencecah 3,000 orang setakat petang semalam dengan lebih 900 rakyat Palestin di Gaza terkorban. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok