DATUK Seri Siti Nurhaliza merupakan ‘aset’ kesayangan negara yang sukar untuk dicari ganti.
Datanglah bakat muda baharu mewarnai industri, kedudukannya sedikit pun tidak berganjak, malah terus kukuh mengekalkan gelaran sebagai penyanyi nombor satu negara.
Masih ingat lagi bagaimana polosnya kehadiran penyanyi dan usahawan itu bertapak sebagai anak seni, sekitar 27 tahun dahulu.
Gaun ikonik merah menyala dengan suara nyaring, namun merdu suara menjadi tuah buat Siti selepas menjuarai pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) pada 1995, sekali gus menjadi titik permulaan bergelar artis.
Bermula saat itu, satu persatu pencapaian membanggakan bukan sahaja buat diri sendiri, namun juga untuk negara diraih pada peringkat antarabangsa.
Dia selayaknya digelar ‘The Living Legend’ atas suksesnya sebagai anak seni.
Apa lagi yang mahu diraih penghibur kesayangan ramai ini? Selepas mengecapi segala nikmat yang diberikan Tuhan, ada satu lagi impian Siti yang belum terlaksana.
“Saya mahu mempunyai galeri sendiri untuk diabadikan sebagai ingatan dan kenangan manis,” begitu luah penyanyi berdagu lekuk itu.
Kata Siti, dia bercita-cita untuk membuka sebuah galeri peribadi kerana mahu menyumbang sesuatu kepada masyarakat dengan menjadikan pengalaman serta kejayaan yang diraih sebagai sumber inspirasi.
Ujar ‘permaisuri’ kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu, idea membuka sebuah galeri peribadi sudah lama difikirkan, namun masih dalam perbincangan.
“Idea untuk wujudkan galeri seni ini sudah lama saya fikirkan. Malah saya pernah suarakan hasrat tersebut kepada kak Rozi (pengurusnya).
“Namun, impian tersebut masih dalam peringkat perancangan dan belum dibincangkan secara serius. Lokasi galeri itu pun masih tidak pasti. Sama ada di kampung kelahiran (Kuala Lipis) atau Kuala Lumpur,” katanya.
Bukan untuk membangga diri, namun hasrat pelantun Nirmala itu, sekurang-kurangnya masyarakat boleh mengenali dirinya secara dekat dan mengikut perjalanan karier seninya sehingga hari ini.
“Dengan adanya galeri itu nanti, peminat boleh mengenali saya secara peribadi selain menelusuri perjalanan karier serta pengalaman yang pernah saya lalui.
“Apa yang akan dipamerkan dalam galeri itu nanti semuanya berkaitan fakta serta koleksi barangan yang membawa kejayaan saya hari ini,” jelasnya yang mahu membuka galeri tersebut atas inisiatif sendiri.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.