Fuad Rahman merajuk kalau Tom tak masak

SIBUK dengan latihan pertandingan Famili Duo musim ketiga (FD3) tidak menghalang penyanyi Tom menyediakan juadah kegemaran keluarga setiap hari.

Menurut pemilik nama penuh Raja Farah Afzan Raja Ikram itu, suaminya, Fuad Rahman menyukai air tangannya malah akan merajuk jika tidak berkesempatan berbuat demikian.

“Tak sempat sejuk nasi suami sudah makan, hari ini sibuk ‘soundcheck’ dan latihan Famili Duo tapi masak tetap masak.

“Kalau tak masak, muncung Fuad sampai dekat parkir bawah,” katanya berseloroh menerusi InstaStory miliknya.

Kongsi penyanyi berusia 37 tahun itu lagi, anak-anaknya juga hanya berselera jika menikmati masakannya berbanding juadah yang dibeli di luar selain enggan membazir.

“Anak-anak pun bila Tom masak baru makan banyak, makan dekat luar asyik tak habis saja.

“Jadi keluarga kami memang kena masak setiap hari, tak boleh pesan makanan luar. Dengan Fuad memang kena masak,” kongsinya.

Tom dan Fuad atau Mohamed Fuad Abdul Rahman, 44, diijabkabul pada 23 Februari lalu di Batam, Indonesia.

Sebelum ini, Tom pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki.

Manakala Fuad pula pernah berkahwin sebanyak dua kali dan memiliki dua anak hasil perkahwinan pertama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok