Famili Duo dengan Syada? Tidak mungkin – Shila Amzah

SUKAR mencari keserasian menjadi faktor utama mengapa Shila Amzah tidak memilih adik perempuanya, Syada Amzah sebagai pasangan duet dalam program realiti Famili Duo yang akan bersiaran Ahad ini.

Shila atau nama lengkapnya, Nurshila Amir Amzah mengakui daripada memilih Syada, dia lebih selesa bergandingan dengan seorang lagi adiknya, Syahir Amzah.

“Ramai tanya kenapa tidak masuk (Famili Duo) dengan Syada dan tidak ajar dia betul-betul.

“Ketika Big Stage, saya tahu tidak boleh bekerjasama dengan Syada sebab dia tak mendengar kata.

“Semua yang saya cakap dia tak nak dengar, dia tiada rasa hormat. Awak semua ingat saya akan masuk Famili Duo dengan Dia?” katanya dalam nada sebak.

Kecewa dengan apa yang berlaku, pelantun lagu Jauh Hati itu sempat bergurau mahu bergandingan dengan suaminya, Ubai MZ dalam Famili Duo.

“Saya stres, lebih-lebih lagi menyertai Family Duo dengan Syahir.

“Tengoklah sendiri macam mana dia tak jaga aib saya sebaiknya, baik masuk dengan Ubai tetapi suara dia pula tidak sedap,” selorohnya.

Sejak kelmarin, kemelut keluarga Shila mula menjadi topik hangat selepas Syada Amzah mendakwa dia bersama ibu serta abangnya sudah dihalau dari rumah.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila adik lelaki Shila iaitu Syafiq mendakwa penyanyi itu memutuskan untuk menjual kediaman mereka tanpa berbincang terlebih dahulu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok