RATU Rock Ella bertindak menyalurkan sebahagian daripada kutipan konsertnya di Pulau Pinang, Sabtu hadapan kepada Tabung Cinta Gaza Malaysia sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.
Jelas pemilik nama penuh Nor Zila Aminuddin itu, kekejaman Zionis terhadap saudara sesama Islam di Gaza menjentik hatinya untuk turut membantu mereka.
“Kita semua sedia maklum dengan berita sedih yang sedang berlaku di bumi Palestin. Saya amat sedih dengan apa yang sedang terjadi.
“Seperti anda semua, terlalu perit untuk mengenangkan nasib mereka dan saya cuba membantu apa yang terdaya.
“Kami akan salurkan sebahagian daripada hasil jualan tiket konsert kepada tabung Cinta Gaza Malaysia bagi meringankan beban penduduk Gaza,” katanya menerusi perkongsian video dalam Instagram.
Selain itu, penghibur berusia 57 tahun itu turut berharap penonton konsert di Pulau Pinang nanti memberi sokongan terhadap rakyat Palestin yang sedang bertarung nyawa menentang kekejaman tentera Israel.
“Saya harap anda semua dapat doakan keselamatan dan kesejahteraan saudara kita di sana. Dengan rasa rendah diri, kami selaku penganjur sudah bersetuju untuk berkongsi solidariti bersama Palestin.
“Bertemakan Glam Rock Solidariti Palestin, ayuh kita tunjukkan kebersamaan dan kasih sayang buat mereka,” katanya.
Konsert Ella Jilid Akhir Puteri Kota Edisi Utara adalah siri jelajah ketiga selepas Kuala Lumpur dan Singapura.
Sehingga kini, lebih 1,300 bangunan di Semenanjung Gaza telah musnah dalam serangan balas Israel.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agensi kemanusiaan PBB OCHA memaklumkan sebanyak 5,540 unit rumah musnah dan hampir 3,750 lagi rumah rosak teruk sehingga tidak lagi dapat didiami.
Serangan udara di Deir al-Balah turut menyebabkan sekurang-kurangnya 35 orang cedera dengan kanak-kanak antara korban dan mangsa cedera pada Khamis lalu. – HIBGLAM