Duti hiburan di KL turun, penggiat seni, penganjur lega

PENGUMUMAN kerajaan mengenai pengurangan duti hiburan untuk acara-acara seni di Wilayah Persekutuan disambut baik oleh penggiat seni dan penganjur acara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal, keputusan tersebut memberi peluang kepada penggiat seni sekali gus merancakkan lagi acara hiburan tanah air seperti konsert.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana sudi mendengar rayuan kami selama ini.

“Ini peluang untuk para penganjur membangunkan muzik tempatan selain platform penyanyi tanah air bersaing dengan lebih rancak,” katanya kepada HibGlam.

Tambah Rohit, pengecualian dan pengurangan cukai hiburan itu juga dilihat memberi sinar baharu kepada setiap individu yang terlibat dalam sesebuah konsert termasuk kru dan penyanyi terlibat.

“Jika sebelum ini ratusan ribu diperuntukkan untuk bayar cukai, kini duit itu boleh digunakan untuk bayar gaji pekerja dengan amaun yang lebih banyak.

“Selain itu, ini juga kemenangan buat para peminat konsert kerana harga tiket pastinya akan lebih murah berbanding sebelum ini.

“Sekurang-kurangnya pengecualian dan pengurangan cukai ini dapat mengurangkan beban kami sebagai penganjur,” ujarnya.

Sementara itu, pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam turut menyambut baik pengurangan duit hiburan bagi syarikat produksi filem terutama ketika situasi ekonomi negara tidak memberansangkan.

“Terima kasih memahami keperluan penggiat seni ketika negara mengalami kekangan kewangan.

“Sebenarnya sudah lama penggiat seni ‘fight isu ini dan harap selepas ini akan lebih banyak negeri lain mengikut jejak Wilayah Persekutuan,” jelasnya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian duti hiburan diberikan kepada setiap persembahan pentas artis tempatan pada tahun depan.

Kerajaan turut bercadang untuk menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu.

Cukai hiburan bagi persembahan pentas artis antarabangsa dan acara lain seperti tayangan filem turut dikurangkan sebanyak 10 peratus.

Sebelum ini, semua acara hiburan termasUk konsert dikenakan cukai sebanyak 25 peratus yang merupakan tertinggi di Asia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok