Dia datang tengok anak – Adira

PENYANYI Adira Suhaimi mendedahkan tidak pernah membawa suaminya, Datuk Seri Adan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red ke acara hiburan sejak berkahwin lapan tahun lalu.

Kata Adira, kehadiran Datuk Red ke konsert minggu ke tiga Famili Duo musim ketiga (FD3) adalah atas kemahuan sendiri bagi menyaksikan anak mereka, Anggerik,6, yang turut muncul di pentas bersamanya.

“Saya sebenarnya tak ajak pun, tapi suami yang nak datang sendiri tengok Anggerik buat persembahan pada malam ini.

“Memang saya tak pernah bawa suami ke mana-mana persembahan atau acara hiburan tetapi sebab Anggerik terlibat jadi dia datang beri sokongan.

“Alhamdulillah, saya dan adik, Emma menang minggu ketiga ini. Rezeki anak agaknya,” katanya usai program FD3 yang diadakan di Studio NTV7 Glenmarie, Shah Alam, malam tadi.

Lebih selesa melayari kehidupan berdua tanpa mempamerkan kepada khalayak ramai, pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi, 32, itu, berkata, tiada sebab tertentu dia enggan mengajak suami menemaninya menghadiri majlis atau acara hiburan.

Sementara itu, malam tadi Adira dan adiknya Emma Suhaimi menampilkan lagu medley Tiada Tangis Lagi  dendangan asal Ella dan Hukum Karma (Wings) dalam persembahan berkonsepkan rock yang disifatkan juri FD3, Ajai sebagai di luar kotak.

Penyanyi dan pemuzik berpengalaman itu memberikan markah penuh,10 mata dan memuji persembahan keseluruhan persembahan duo adik-beradik terbabit yang menonjolkan mesej kejiranan.

Menyentuh perihal ilham persembahan tersebut, Emma berkata, komen juri terutama Mas Idayu membuatkan mereka tekad menampilkan idea berbeza untuk minggu ketiga dengan mengetengahkan kelebihan Adira dalam aplikasi TikTok.

“Idea persembahan minggu ini datangnya daripada Adira kerana dia semakin aktif bermain Tiktok.

“Adira mahu bawa apa yang selalu dipaparkan dalam TikTok ke pentas FD3. Jadi, dia cadangkan ketengahkan ‘drama’ jiran yang suka bersaing sesama sendiri,” katanya.

Menurut Emma lagi, mereka kini lebih memahami konsep yang kerap diperkatakan Ajai dan Mas Idayu, malah mengakui bertuah mendapat sokongan lima lagi pasangan peserta lain.

“Kami bersyukur dengan kemenangan ini. Dua minggu sebelum ini agak sukar untuk kami memahami konsep Famili Duo.

“Kami penyanyi dan tidak pernah terlibat dalam sebarang program lawak atau lakonan, tetapi setiap kritikan juri kami ambil perhatian.

“Saya dan Adira tidak malu bertanya mereka yang lebih arif tentang konsep program ini, malah kami juga tidak segan minta pendapat peserta lain,” katanya.

Bergelar juara minggu ketiga dengan hadiah wang tunai RM10,000 melayakkan Adira dan Emma memilih tema minggu  minggu depan iaitu dangdut Hindustan.

Selain Adira, FD3 yang bersiaran selama lapan minggu turut menampilkan pasangan duo Shila Amzah dan Amir Syahir; Ryan dan Adam Bakery; Syarif dan Syaiful; Haqiem Rusli dan Ariff Bahran serta Fuad Rahman dan Tom. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok