Dia anak yang soleh, saya rindu – Ibu Bad Indigo

“BAD anak yang soleh, coletehnya sentiasa menyenangkan hati saya.”

Demikian perkongsian ibu kepada Allayarham Bad Indigo, Sharizan Abdul Ghani yang menyifatkan penyanyi itu sebagai anak yang soleh dan bertanggungjawab terhadap keluarga.

Jelas Sharizan, tiada satu pun perkara yang dilakukan menyakitkan hati apatah lagi membuatkannya risau, sebaliknya sentiasa menyenangkan.

“Kalau tanya saya, dia (Bad) anak yang soleh, menjaga saya dengan baik, apa lagi apabila arwah ayahnya meninggal, segala tanggungjawab automatik jatuh kepadanya.

“Dia memang anak yang baik, mendengar kata dan setiap celotehnya sentiasa menyenangkan hati saya serta orang sekeliling,” katanya kepada HibGlam.

Tambah Shahrizan lagi, pemergian anak lelaki kesayangannya itu meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya bahkan dia pasti tidak mampu menanggung rasa rindu.

“Mana pun saya mahu pergi, Bad yang bersungguh-sungguh  mahu bawa dan gembirakan hati saya. Sebab itu saya sangat terasa kehilangannnya, saya pasti akan merindui dia namun apapun saya reda.

“Berita semalam sangat mengejutkan. Selain daripada itu, saya tak mampu untuk menjawab mana-mana soalan lagi, cukup,” jelas Sharizan menahan sebak selain enggan memberi apa-apa komen lagi.

Kira-kira 100 ahli keluarga serta kenalan mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham Badrul Izhan Shahrizan atau Bad Indigo di Tanah Perkuburan Kota Damansara dekat sini, pukul 2.50 petang tadi.

Jenazahnya selamat dikebumikan selepas solat Jumaat, manakala urusan memandikan dan sembahyang jenazah dilaksanakan di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya.

Antara rakan artis yang mengiringinya termasuk semua anggota kumpulan Indigo, Liza Hanim serta bekas isterinya, Ashira.

Bad menghembuskan nafas terakhir pukul 7 malam, semalam selepas mengalami sesak nafas di tempat kerjanya di Reiber Auto di Bukit Permai, Ampang, Selangor.

Arwah yang berusia 48 tahun kehilangan kesemua jari kaki kiri sejak Mac tahun lalu akibat kencing manis. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok