Demi keluarga, Ammar Titan kini ejen insurans

PELAKON dan pelawak Ammar Titan bergelar ejen insurans sepenuh masa sejak tiga bulan lalu untuk menjana pendapatan berikutan kurang mendapat tawaran berlakon.

Ammar atau nama lengkapnya Azizul Ammar Abu Hassan, 36, ketika ditemui HibGlam berkata, dia tidak kisah melakukan pekerjaan tersebut kerana mempunyai isteri dan dua orang anak yang perlu ditanggung.

“Sejak Julai lalu, saya menjadi ejen insurans sepenuh masa demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya ada tanggungjawan sebagai suami dan bapa kepada dua anak. Jadi, saya kena bekerja untuk cari rezeki.

“Orang kelainan upaya pun bekerja, jadi apa alasan saya untuk ‘goyang kaki’ sahaja?” katanya.

Ujar bekas penyampai radio Hot FM itu lagi, dia tidak malu melakukan pekerjaan itu (ejen insurans) walaupun bergelar artis, asalkan boleh menjana pendapatan.

“Mungkin orang akan memperlekehkan pekerjaan saya sebagai ejen insurans tetapi saya tidak kisah. Saya bukan kacau orang pun.

“Apa sahaja pekerjaan yang boleh menjana pendapatan, saya akan buat. Ketika Ramadan lalu, saya membantu rakan berniaga di Bazar Ramadan Taman Tun Ismail (TTDI) untuk cari duit belanja lebih.

“Bagi saya, tiada istilah artis. Saya cuma artis ketika bekerja dalam bidang seni. Selain daripada itu, saya tidak kisah untuk melakukan apa sahaja asalkan halal,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ammar memberitahu pernah beberapa kali terfikir untuk berundur dari dunia seni apabila merasakan dirinya tidak lagi diperlukan.

“Namun, bila difikirkan semula, kecintaan terhadap bidang seni masih tebal dan sudah sebati dengan jiwa.

“Kalau ada rezeki, saya mahu sambung belajar sehingga peringkat tertinggi (Phd) dan mahu membuka bengkel lakonan,” ujarnya.

Menyentuh pembabitannya dalam teater bangsawan Dang Anum arahan sutradara Amirul Haswendy, Ammar berkongsi rasa gembira apabila bakal melakonkan watak hero iaitu sebagai Laksamana Bentan.

Kata Ammar, sebagai bekas pelajar jurusan seni, pembabitannya dalam pementasan bangsawan itu sedikit sebanyak dapat melepaskan gian selepas sekian lama tidak beraksi di pentas teater.

“Kali terakhir saya berlakon teater adalah pada 2011. Sebagai bekas pelajar dalam jurusan seni, saya anggap pembabitan dalam teater bangsawan Dang Anum ini dapat melepaskan rindu selepas sekian lama tidak berlakon teater,” jelasnya.

Teater Dang Anum bakal dipentaskan pada 14 dan 15 Oktober ini di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Bukit Kiara, Kuala lumpur. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok