SEDIA maklum sepak terajang dunia seni, pelakon jelita, Daniella Sya selesa menutup rapat sisi privasi daripada menjadi tatapan peminat.
Bahkan dia sedar apabila bergelar anak seni, banyak mata yang memandang dan dia harus menjaga kelakuan daripada menjadi sebutan orang.
“Sejujurnya, saya selesa dengan keadaan sekarang. Kalau popular sangat pun privasi saya akan semakin kurang.
“Saya tidak suka orang ambil tahu tentang hal peribadi saya walaupun itu memang sudah dalam skop kerja artis.
“Perkara itu tidak dapat dielakkan tetapi seboleh-bolehnya saya mahu kawal privasi dan lebihkan kepada karier,” katanya.
Hadir dengan imej seksi, wanita berdarah Tionghua itu sama seperti kebanyakan wanita cantik lain, dia sering menerima gangguan seksual dalam talian.
“Saya banyak terima mesej pelik, gambar lucah daripada individu tidak dikenali.
“Saya tidak tahu kenapa mereka berbuat demikian. Kadangkala melampau sangat sampai saya terpaksa sekat.
“Ikutkan memang boleh buat laporan polis tetapi macam susah juga sebab atas talian,” ujarnya.
Ditebak sama ada orang sekeliling pernah melakukan perbuatan memualkan terhadapnya, anak jati Sungai Petani, Kedah itu lega situasi sedemikian tidak terjadi kepadanya.
“Pelakon lain atau pihak produksi yang saya kenal tidak pernah hantar mesej pelik, setakat bergurau itu biasa.
“Mungkin sebab orang tahu cara kerja saya serius.
“Kalau dilayan perkara-perkara pelik, memang buka ruang perkara tak elok. Jadi, kena tetapkan sempadan,” tuturnya.
Artikel penuh, layari Kosmo! Online atau dapatkan akhbar kompak tersebut di kedai-kedai berdekatan.