Boleh tayang badan tetapi perlu relevan – Beto Kusyairy

PELAKON, Beto Kusyairy menegaskan akan menilai tahap kerelevanan dan impak terhadap imejnya sekiranya diminta untuk tidak berbaju dalam sesebuah naskhah.

Pemilik nama penuh Nur Kusyairy Zakuan Osman, 43, itu berkata, dia akan bersikap profesional sekiranya diminta untuk tidak berbaju dan menayang sebahagian badannya dalam filem mahupun drama sekiranya pengarah mempunyai alasan kukuh.

“Saya akan nilai dahulu keperluan sesuatu babak tetapi tidaklah sampai keterlaluan sehingga membuatkan penonton ghairah.

“Pengarah perlu berikan alasan kenapa memerlukan saya tidak berbaju. Jika alasannya kukuh dan selagi tidak melanggar sensitiviti, saya akan bersikap profesional sebab saya seorang pelakon,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media drama Super Wira baru-baru ini.

Dia bagaimanapun menegaskan akan menolak permintaan itu sekiranya babak sedemikian sengaja dihasilkan untuk mencetuskan kontroversi atau keghairahan penonton.

“Tetapi kalau saja-saja nak ‘menjual’ atau umpan penonton saya tak mahu.

“Mungkin boleh ambil pelakon lain yang lebih sesuai. Saya ni dahlah berwajah Jawa,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai kesanggupannya membentuk badan agar tampak sasa, Beto berkata perkara perkara tersebut memerlukan komitmen yang tinggi.

“Saya suka benda yang realistik. Kalau sesuai dengan karakter, saya tiada masalah untuk bina badan.

“Namun, saya perlu masa kerana perkara itu melibatkan komitmen yang tinggi.

“Sebenarnya bina badan hanyalah 10 peratus sahaja ke gim, selebihnya perlu menjaga diet,” jelasnya.

Super Wira merupakan siri adiwira pertama yang mempunyai banyak unsur tradisional Melayu seperti silat dan cerita rakyat Naga Tasik Chini.

Selain Beto, naskhah arahan Ghaz Abu Bakar itu turut dibintangi Nadhir Nasar, Idan Aedan, Mira Fizah, Zizan Razak dan Ezzaty Abdullah.

Super Wira bakal menemui  penonton menerusi saluran Astro Ceria setiap Isnin, pukul 9 malam bermula 23 Oktober ini.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok