MEMBARISKAN nama besar dalam industri muzik tanah air, Festival Malam Gala dan Pertunjukan Fesyen Truly Malaysia menjadi medan orang ramai menyalurkan sumbangan bagi mengisi tabung kanak-kanak istimewa sindrom Down.
Acara anjuran Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sindrom Down (PPDKSD) itu mendapat sokongan penghibur ternama Datuk Zainalabidin, Ayu Damit dan Hafiz Suip yang sedia turun padang pada 4 November ini.
Pengurus Projek, Hafida Hafiz berkata, acara makan malam tahunan yang diadakan untuk mengisi tabung menggerakkan operasi pertubuhan memayungi kanak-kanak istimewa itu diharap mampu memenuhi matlamat.
Katanya, sokongan masyarakat termasuk selebriti diharap mampu membuka mata lebih ramai rakyat negara ini akan kepentingan pendidikan serta aktiviti berterusan buat insan sindrom Down sehingga mereka boleh berdikari.
“Bersama Kami Bukan Untuk Kami adalah tema menyantuni golongan kelainan upaya ini sebagai menjaga hak asasi kemanusiaan bukan sebagai golongan yang bergantung kepada ihsan dan kebajikan semata-mata.
“Anjakan daripada model kebajikan kepada peluang untuk sama-sama menjalani kehidupan seperti individu lain mencetuskan idea penganjuran Festival Malam Gala dan Pertunjukan Fesyen Truly Malaysia.
“Ini kerana barisan kanak-kanak istimewa ini juga bakal beraksi di pentas utama pada malam itu termasuk dalam acara peragaan fesyen selain menonjolkan bakat mereka dalam segmen lain.
“Apa pun kami bersyukur selain penaja dan penyumbang, Datuk Zainal Abidin antara artis yang tidak pernah menolak untuk bersama kami merealisasikan acara kemasyarakatan ini,” katanya.
Bakal berlangsung di Dewan Wawasa, Menara PGRM Cheras, bekas juara Akademi Fantasia musim kedua, Zahid akan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara.
“Dijangkakan banyak acara sampingan bakal mengisi slot selain persembahan nyanyian artis terkenal, pertunjukan fesyen, lelongan dan sebagainya atas dasar keprihatinan masyarakat.
“Kami berharap agensi lain serta orang perseorangan sama-sama menjadikan acara ini bermakna sekali gus memberi manfaat berterusan kepada golongan sasaran,” ujarnya.
Bagi yang berminat menghadiri Festival Malam Gala dan Pertunjukan Fesyen Truly Malaysia boleh hubungi 0196696494 atau 019476 5109. Sebarang pertanyaan juga boleh diajukan ke [email protected] atau [email protected]. – HIBGLAM