BINTANG gergasi K-pop, Xiumin dari kumpulan Exo dan anggota grup iKon, Bobby bakal menggegarkan pentas Surf Beach Sunway Lagoon menerusi Festival Muzik 9WAVE pada 11 November depan.
Kehadiran mereka turut disertai beberapa artis Korea Selatan lain seperti kumpulan (G)I-DLE; pemuzik serba boleh, Henry Lau; pemain muzik elektro, Shaun dan bintang popular, Hyoyeon dari SNSD.
Selaku penganjur, pihak Nine XTraw menjanjikan penonton dapat menikmati muzik dan budaya K-pop menerusi usaha menghimpunkan peminat Malaysia serta negara serantau.
“Jualan tiket yang bermula dengan harga harga RM268 (General), RM588 (Parti), RM788 (Wave), RM1,088 (VIP stand) dan RM8,888 (VIP duduk) sudah dibuka.
“Tiket zon duduk VIP itu hanya untuk enam pembeli sahaja. Tempat duduk serta jamuan makan disediakan khusus buat pembeli bertuah.
“Kami juga memberikan potongan harga lebih murah berbanding jualan awal terdahulu,” katanya.
Konsert anjuran bersama Skyline Entertainment itu menjanjikan kepuasan maksimum penonton apabila dapat berkumpul dengan bintang K-Pop terkenal.
Tiket menyaksikan acara mega ini boleh dibeli menerusi www.9wavemusicfestival.com dan premier.ticketcharge.com.my. – HIBGLAM