Bintang indie meriahkan TAPAUfest

RIBUAN seniman serta peminat daripada komuniti indie berkumpul di Lenggong, Perak pada hujung minggu lalu untuk meraikan seni dan kreativiti berlatar belakang tasik dan gunung di Resort Tasik Raban.

Dianjurkan TAPAUasia, edisi ke-6 TAPAUfest kembali buat kali kedua di Lenggong ternyata memberikan pengalaman yang bermakna buat semua yang terlibat.

Hari pertama acara dibuka seawal pukul 9 pagi bagi memberikan masa secukupnya untuk meneroka keajaiban semula jadi Lenggong yang memukau, antaranya di Lata Kekabu atau menikmati secawan kopi dan pengalaman menikmati muzik di tepi sungai sebelum persembahan di PENTAS bermula pada pukul 5 petang.

Tepat seperti yang dijanjikan, hos TAPAUfest,  Iedil Dzuhrie Alaudin dan Sharifah Amani, membuka tirai acara dengan mengajak semua berkumpul di PENTAS.

Rub of Rub dari Bandung, Indonesia menghiburkan penonton dengan lagu popular mereka.

Persembahan pertama dimulakan kugiran ‘midwest emo’, Mascot yang membawakan konsep bersesuaian dengan angin kencang semula jadi dan tenaga pengikut mereka.

Seterusnya Rub of Rub dari Bandung muncul dengan muzik latar yang cukup sempurna untuk matahari yang sedang terbenam sambil memikat penonton dengan bunyi dub mereka. Ini merupakan persembahan sulung mereka di luar Indonesia.

Setelah rehat maghrib, duo elektronik Wobbebong mengembalikan semangat penonton dengan persembahan bertenaga berserta penampilan istimewa rapper Hullera untuk lagu kegemaran penonton, Kereta Terbang.

Kugiran legenda Singapura, Force Vomit pula memulakan persembahan mereka dengan lagu Spaceman Over Malaysia.

KEHEBATAN persembahan band Jemson membuatkan penonton ‘menggila’.

Rock ‘n roll ‘Supergroup’, Jemson seterusnya mengambil alih pentas dengan persembahan cukup bertenaga.

Bintang dan penyanyi, Naim Daniel turut membuat penampilan istimewa dengan membawakan lagu Mula Semula.

Hari pertama TAPAUfest 2023 ditutup dengan persembahan menawan Nadin Amizah dari Indonesia dengan hitnya Rayuan Perempuan Gila dan diakhiri Sorak Sorai.

Hari kedua bermula seawal pukul 7.45 pagi, dengan penonton berkumpul di tepi tasik berkabus untuk Sesi Tikar Mengkuang yang menjemput peserta festival untuk merehatkan badan dan minda mereka melalui sesi regangan dan meditasi.

PENGUNJUNG bersantai menikmati keindahan Tasik Raban.

Pentas hari kedua dimulakan oleh kugiran Mid-Tempo 70’s Punk asal Bogor, The Jansen yang terus menghidupkan pentas sambil dipenuhi peminat yang cukup teruja untuk menonton persembahan pertama mereka di Malaysia.

Legenda tempatan dan pelopor indie, Muck kemudiannya muncul di atas pentas, mempersembahkan 11 lagu termasuk, Where Only You Belong dan ‘anthem’ indie kegemaran ramai, Orang School.

Door Plant, kugiran indie pertama dari Thailand turut memberikan kejutan manis buat penonton. Tanpa memahami sepatah perkataan dalam bahasa Thai penonton tetap menari mengikut tempo.

Hujan mula menitis ketika Fikri dan kugirannya naik ke pentas mencipta suasana yang sempurna untuk bunyi neo-folk Bayangan.

Hujan yang turun dengan lebatnya ketika persembahan Lomba Sihir dari Jakarta tidak melunturkan semangat, malah menghidupkan semangat penonton untuk menyanyi dan menari dalam hujan sepanjang persembahan mereka.

ZEE AVI antara penyanyi paling dinanti penonton TAPAUfest.

Zee Avi mengakhiri PENTAS dengan persembahan cukup istimewa. Antara lagu yang dipersembahkan adalah Just As I Am, sebuah cover dari The Strollers, band legenda yang dianggap sebagai kugiran indie pertama dari Malaysia.

Zee menutup malam dengan Kantoi, yang menjadi antara momen paling epik dalam sejarah penganjuran TAPAUfest apabila semua pengunjung turut sama menyanyi.

Sebelum pulang, warga ‘campers’ kembali ke kawasan perkhemahan untuk sesi Bonfire Akustika bersama Amir Jahari sebagai penutup TAPAUfest 2023 yang sebenar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok