“SAYA mahu lupakan perkara yang sudah berlaku. Saya nak ‘move on’.”
Demikian pendirian penyanyi dan pelakon Bella Astillah yang mahu menjadi wanita lebih matang dan enggan lagi bersedih memikirkan isu yang berlaku baru-baru ini.
Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 29, sewaktu ditemui HibGlam berkata, buat masa ini dia mahu menjalani kehidupan dengan tenang dan bukan lagi ‘Bella’ yang dahulu.
“Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja. Saya pun nak lupakan perkara yang berlaku. Saya nak ‘move on’. Biasalah rumah tangga ada fasa naik turun.
“Saya cuma mengharapkan yang terbaik sahaja. Kalau boleh saya tidak mahu lagi sedih-sedih dan menjalani kehidupan dengan positif. Itu yang saya nak lakukan sekarang,” ujarnya kepada HibGlam.
Tambah Bella lagi, sebagai isteri dia perlu bersikap lebih dewasa dan tidak meragui kesetiaan suminya, Aliff Aziz.
“Saya semakin dewasa. Saya cuma mahu jalani kehidupan dengan lapang hati. Saya tidak mahu lagi dihantui perasaan risau. Tak nak dah.
“Sekarang saya lebih percayakan dia (suami). Kalau tidak percaya, sudah lama saya tidak lagi bersamanya,” ujar Bella.
Enggan memanjangkan isu yang berlaku, Bella yang pernah menyertai program Famili Duo musim kedua tahun lalu turut meminta maaf kepada orang ramai yang berasa kurang senang dengan sikapnya yang dianggap tidak matang.
“Saya tak nak ulas lebih-lebih lagi. Sekarang isu yang perlu diutamakan adalah tentang saudara kita di Palestin. Apa-apa pun, saya minta maaf kepada mereka yang kurang senang dengan saya.
“Mungkin ada yang fikir saya kurang matang. Saya pun dalam fasa memperbaiki diri memandangkan usia bakal mencecah 30 tahun tahun depan,” jelasnya.
Bella yang ditemui di sidang media dan sesi rakaman program Dapur Tempur Selebriti semalam turut memaklumkan hubungannya dengan Aliff baik-baik sahaja.
“Aliff pun sudah pujuk dan minta maaf kepada saya. Saya pun sudah minta maaf juga dengannya.
“Sebagai isteri, mungkin ada perkara yang saya terlepas pandang. Lagi sekali, saya minta semua doakan yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, kehadiran Sophia pada konsert minggu ketiga All Stars Gegar Vaganza (VG10) mencuri perhatian ramai apabila dikatakan mahu menonton persembahan Aliff.
Bagaimanapun, Aliff enggan mengulas panjang kehadiran Sophia kerana bimbang akan timbul spekulasi yang tidak sepatutnya.
Sophia sewaktu ditemui media berkata, dia hadir kerana mahu memberikan sokongan terhadap sepupunya iaitu penyanyi, Aishah Retno yang membuat persembahan.
Aliff dan Bella yang mendirikan rumah tangga pada 2016 kini bahagia bersama sepasang cahaya mata, Ayden Adrean dan Ara Adreanna. – HIBGLAM