Beto gagah tanpa tubuh kekar

MENGGALAS watak Kapten Gemilang menerusi drama Super Wira arahan Ghaz Abu Bakar yang bakal disiarkan menerusi saluran Astro Ceria bermula 23 Oktober depan bakal menyaksikan satu lagi sisi menarik Beto Kusyairy.

Akui bintang terkenal ini, dia berbesar hati masih diberikan kepercayaan menghidupkan watak adiwira itu pada usia 43 tahun.

“Secara jujur, memang sangat besar hati tetapi pada masa sama gementar sebab saya sedar stamina dan tenaga tidak seperti dulu selepas memasuki umur 40-an.

Apatah lagi watak adiwira selalunya melibatkan babak aksi lasak,” ujarnya.

Pemilik nama sebenar Nurkusyairy Zakuan Osman itu berkata, setiap pelakon yang menjayakan watak sebegitu seharusnya membuat persedian rapi dan menabur sedikit usaha bagi meraih keyakinan penonton.

Antaranya ialah dengan mendapatkan bentuk fizikal ideal bersesuaian dengan karakter adiwira yang selalunya memaparkan hero berbadan kekar.

“Sebenarnya perlu ada usaha dan inisiatif daripada pelakon itu sendiri untuk merealisasikan watak supaya tak nampak kekok dan penonton boleh percaya serta yakin.

“Nanti tidaklah penonton mempertikai kemampuan pelakon tersebut,” jelasnya.

Tambahnya yang popular menerusi filem Istanbul Aku Datang! itu, tanggapan adiwira mesti berbadan tegap bagaimanapun bersifat subjektif.

Jelasnya, dia juga ingin melakukan hal sama, namun tidak kesampaian susulan faktor masa yang agak singkat dan terhad.

“Sebenarnya daripada segi visual dan gambar, benda itu (badan tegap) adalah perlu sebab ciri-ciri pemegang watak sebegitu selalunya mesti tegap, tinggi dan gagah supaya orang percaya dia ‘superhero’.

“Cuma dalam naskhah ini kami tak diberi peluang itu sebab tak cukup masa dan sebagainya.

“Mungkin kalau dijadikan filem, perkara itu (bertubuh sasa) boleh direalisasikan sekiranya diberi ruang,” tuturnya.

Dia bagaimanapun lebih memilih konsep realistik berbanding ‘menjual’ watak dengan fizikal tegap dan sebagainya.

Baginya, semuanya terpulang kepada penilaian dan cara penerimaan penonton yang dianggap memiliki kehendak visual mereka sendiri.

“Secara peribadi, saya lebih sukakan benda realisme. Dia sudah ada kuasa dan kuat, jadi mengapa badan perlu tegap tetapi dari sudut visual, paparan sebegitu cantik.

“Namun, dari sudut kemanusiaan, penonton mungkin akan lebih tertarik kerana realistik dan unik,” kata anak jati Kuala Lumpur itu.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok