“INSYA-Allah kalau ada, adalah (jodoh). Saya melawak sahaja sekadar ikut trend.”
Demikian respons pelakon Puteri Sarah berhubung ‘ramalan’ dirinya bakal bertunang tahun hadapan.
Ibu kepada dua cahaya mata itu ketika dihubungi HibGlam berkata, dia enggan memberikan apa-apa komen tentang perkara tersebut kerana hanya suka-suka menggunakan ‘filter’ dalam Instagram dan terkejut apabila diberitahu bakal bertunang pada tahun hadapan (2024).
“Saya suka-suka sahaja main filter itu dan rasa kelakar apabila jawapan yang keluar memberitahu jangkaan saya akan bertunang pada tahun 2024.
“Tidak ada apa-apa yang serius pun. Itu buat lawak sahaja. Kalau ada jodoh adalah. Tapi kalau tidak ada pun, tak mengapa,” ujar Sarah.
Terdahulu, menerusi perkongsian Sarah atau nama lengkapnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin dalam InstaStory, dia dilihat bermain filter dalam Instagram tentang jangkaan dirinya pada tahun hadapan.
Jangkaan yang diberikan filter tersebut ternyata mengejutkan Sarah sendiri apabila diberitahu bakal bertunang pada 2024.
“Your prediction is, you will get engaged (jangkaan tahun 2024 anda ialah, anda akan bertunang),” tulis filter tersebut.
Sarah yang berada dalam kapal terbang semasa bermain filter tersebut kelihatan terkejut dan tersipu-sipu malu dengan ramalan yang diberikan.
“This is unexpected (ini suatu yang tidak disangka),” tulisnya beserta emoji ketawa.
Baru-baru ini, nama Sarah menjadi perhatian selepas timbul gosip dalam media sosial apabila dia dilihat kerap muncul melakukan sesi live dalam Instagram bersama pelakon Indonesia, Andi Asryil.
Sarah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama pengarah Syamsul Yusof pada 8 Mac 2014, namun bercerai talak satu pada 14 Jun lalu.
Hasil perkahwinan selama 11 tahun, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4. – HIBGLAM