Berjalan Mundur Fiersa Besari buai emosi

EMOSI terjerat. Rasa itu yang dirasai penulis sepanjang lebih dua jam menonton sebuah konsert yang sarat kata-kata puitis terlantun dari bibir pemuzik bernama Fiersa Besari.

Ibarat mendengar si penyair jalanan membuat persembahan, itulah yang cukup untuk menggambarkan konsert Fiersa Besari Berjalan Mundur di Zepp Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini.

Disangka tidak mendapat sambutan hangat, ternyata telahan tersebut meleset apabila Zepp KL dibanjiri lebih 1,000 peminat setia penyanyi kelahiran Bandung, Indonesia itu.

Memulakan persembahan pada pukul 9 malam, kemunculan Fiersa dengan persalinan sut sebelum mendendangkan Pengecut, Bukan Lagu Valentine meraih sorakan gemuruh daripada peminat.

Garis Terdepan dan Melangkah Tanpamu yang merupakan antara lagu popularnya turut diselitkan dalam segmen pertamanya itu.

ALUNAN lagu puitis Fiersa membuai emosi kira-kira 1,000 penonton yang nyata puas dengan persembahannya.

Seperti kebiasaan, lagu-lagu milik penyanyi Indonesia sememangnya mampu membikin galau penonton walau hadir berhati riang.

“Selepas setahun, saya kembali lagi ke Malaysia yang sepertinya sudah menjadi rumah kedua.

“Ternyata sokongan anda masih kekal utuh buat karya-karya seni saya,” ungkapnya yang juga seorang penulis puisi dan pencandu keindahan alam.

Melanjutkan persembahan, dia terus menjentik emosi penonton menerusi segmen kedua apabila menyanyikan lagu

Rumah yang mengisahkan tentang rasa kejauhan daripada keluarga yang adakalanya dianggap sebagai beban hidup.

“Ramai yang mempunyai rumah tetapi tidak berasa aman apabila pulang.

“Carilah ketenangan itu dan usah biarkan wujud rasa janggal dengan ibu bapa waima marah mana pun kita kepada mereka sebab hidup ini cuma sekali dan jangan sampai menyesal,” ujarnya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok