BERMULA sebagai penyanyi dan kemudian bergelar komposer, Hael Husaini maju setapak lagi apabila kini muncul sebagai pemain watak utama drama My Famous Ex-Boyfriend.
Meskipun masih dalam skop dunia hiburan, keputusan untuk bergelar pelakon adalah satu titik permulaan yang memberi impak besar terhadap lembaran kerjaya naib juara Akademi Fantasia musim ke-10 itu.
Berkongsi detik ‘perkenalan’ dengan dunia lakonan, pemilik nama penuh Hal Husaini Razmi itu mulanya menyangka dihubungi pihak produksi untuk menjayakan lagu runut bunyi drama tersebut tetapi sangkaan jauh meleset.
“Saya langsung tiada bakat dalam bidang lakonan. Pada awalnya saya sangka dipanggil untuk menyanyikan OST untuk drama ini tetapi lain pula jadinya.
“Tiba-tiba, saya diminta untuk membaca skrip dan kemudian mereka kata saya sesuai dengan watak tersebut. Memang terkejut,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Lelaki berusia 35 tahun itu juga mengakui perasaan risau mula berlegar dalam benak fikirannya tatkala diberikan tawaran berlakon.
“Memang agak ragu-ragu untuk terima pada awalnya tetapi syukur semua pihak, termasuk barisan pelakon dan pengarah sebab banyak membantu saya.
“Saya juga ada hubungi rakan artis lain seperti Nabila Huda untuk dapatkan nasihat dan dia minta saya mencuba.
“Nabila kata, ini peluang sekali seumur hidup, jadi kena cuba, yang penting ikhlas dan lakukan sebaik mungkin selain jangan susahkan orang lain di set penggambaran,” katanya lagi.
Berkongsi pengalaman berada di set penggambaran, Hael mengakui tahap pengetahuannya mengenai dunia lakonan sangat minimum terutama berkaitan jenis-jenis sudut rakaman kamera.
“Ketika pengarah kata action, saya faham lagi tetapi apabila sudah masuk hal lebih teknikal seperti wide shot atau close-up, memang pening.
“Syukur ada pengarah yang sangat membantu orang baharu seperti saya. Saya tak kisah ‘ditoman’ (dimarahi) sebab semua itu tentang ilmu.
“Jiwa sebagai pelakon memang tiada sebab sebelum ini, dunia saya hanya dalam studio rakaman,” kongsinya yang melakonkan watak Haque Zuhal.
Tidak mampu menyorokkan muka daripada dilempar sebarang kritikan, anak kelahiran Negeri Sembilan itu terbuka menerima apa sahaja komen daripada penonton berhubung mutu lakonannya.
Hael tidak menafikan tahap keyakinan dirinya semakin bercambah selepas menceburkan diri dalam dunia lakonan.
“Bidang lakonan sangat membantu saya meningkatkan keyakinan diri. Kalau hendak benci lakonan saya pun okey, saya tak kisah dikritik.
“Saya cuba sebaik mungkin dan beri saya peluang untuk belajar dalam dunia yang masih asing ini,” pintanya.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.