Bergelar pelakon, Faizdickie damba watak emosi

SELEPAS10 tahun bergelar pencipta kandungan (content creator) dalam media sosial, pempengaruh Faizdickie kini melangkah setapak ke depan apabila mula berkecimpung dalam bidang lakonan.

Biarpun masih lagi baharu dalam bidang yang diceburi, Faiz atau nama lengkapnya Mohd. Nasrul Faiz Abu Azal, 35, enggan menoleh ke belakang apabila mahu lebih serius menempatkan diri dalam dunia hiburan.

Drama Cik Misi 123 membuka peluang Faiz untuk melebarkan lagi sayapnya dalam bidang lakonan apabila diberi tawaran untuk memegang watak yang agak penting dalam naskhah arahan pengarah, Feroz Kader tersebut.

Bagaimanapun, Faiz sedar untuk berada dalam industri dan bersaing dengan wajah-wajah sedia ada, tidak cukup dengan berlandaskan bakat semata-mata.

Jauh di lubuk hatinya, tersimpan sedikit rasa rendah diri apabila melihat pelakon-pelakon lain yang memiliki pakej sempurna, termasuk daripada segi fizikal.

“Kalau tanya saya sama ada sudah bersedia untuk bergelar pelakon secara serius, sudah tentu saya nak kalau diberikan peluang.

“Cuma saya kena yakinkan diri saya sahaja. Sebab saya rasa rendah diri, daripada segi rupa dan fizikal untuk bersaing dengan pelakon-pelakon lain,” ujarnya yang membawakan watak sebagai Baby Baharuddin dalam Cik Misi 123.

Tambah Faiz, sebelum ini dia pernah mengalami masalah berat badan sehingga merosakkan keyakinan diri dan penampilannya.

Bagaimanapun, pencipta kandungan yang terkenal dengan watak ‘Kak Leha’ itu sentiasa menanti peluang dan sanggup menyahut cabaran dengan membawakan watak lebih sukar.

“Orang selalu nampak perwatakan saya dalam media sosial seorang yang kelakar, mulut jahat dan bising. Tapi hakikatnya saya seorang yang pendiam dan serius kalau di belakang kamera.

“Jadi, saya memang berharap kalau diberi peluang lain selepas ini, saya mahukan watak yang berbeza, watak yang bermain emosi,” jelasnya.

SEBAGAI penciptaan kadungan berpengalaman, Faizdickie menasihati pengkarya-pengkarya baharu supaya tidak mengabaikan pelajaran.

Bergelar antara pelopor dalam dunia pencipta kandungan dalam media sosial di Malaysia, Faiz mengakui bukan satu hal yang mudah untuk kekal relevan dalam tempoh masa panjang.

Berbanding untuk terkenal, untuk kekal itu memerlukan kreativiti dan usaha tinggi dalam persaingan dengan pencipta kandungan lain.

Justeru, untuk kekal relevan, Faiz percaya, seseorang pencipta kandungan perlu sentiasa membuat kelainan dalam media sosial, sesuai dengan peredaran masa.

“Secara jujur, sangat susah untuk kekal relevan dalam media sosial. Disebabkan lambakan platform yang semakin mendapat perhatian daripada pengguna lain sehingga mewujudkan ramai pencipta kandungan baharu.

“Untuk bersaing dengan pengkarya lain, kita kena letak niat, sama ada untuk sekadar popular atau memberi kesedaran kepada masyarakat?

“Niat yang bagus juga penting untuk kekal relevan dalam industri. Bukan sekadar untuk terkenal semata-mata dengan menghasilkan kandungan yang tidak bermanfaat,” ujarnya.

Pada masa sama, Faiz turut menasihati pengkarya-pengkarya baharu supaya tidak sesekali mengabaikan perkara yang lebih penting iaitu ilmu dan pelajaran.

Kata Faiz, sesetengah daripada mereka berpendapat menjadi seorang pencipta kandungan media sosial boleh menjana pendapatan yang banyak.

“Betul, memang boleh buat duit. Tapi tak semua orang berjaya capai tahap begitu. Ramai yang salah faham.

“Ingatkan jadi pencipta kandungan media sosial boleh terus jana pendapatan lumayan.

“Kena ada juga ilmu sebagai perancangan untuk masa depan,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok