PENYANYI yang mencipta nama di Amerika Syarikat, Yuna berharap hasil kerja penggiat seni diberikan bayaran setimpal.
Kata pemilik nama penuh Yunalis Mat Zara’ai itu, anak seni berkorban dengan menghabiskan masa yang lama untuk menghasilkan buah tangan terbaik buat pendengar.
“Kadangkala kami berharap orang tahu kesukaran yang kami hadapi, tapi orang tak akan tahu sebab kami tidak meletakkan kamera di keliling kami.
“Adakalanya saya ingin orang faham keberanian yang kami pertaruhkan untuk setiap karya, bagaimana kami luangkan masa 10 hingga 12 jam untuk proses kreatif dan tidak berganjak hingga berpuas hati.
“Walaupun kami sudah berusaha sekuat itu, bukan semua orang menghargai hasil kerja kami,” tulisnya dalam Instagram.
Menyertakan gambar sedang menikmati secangkir kopi, Yuna turut maklum kehidupan selebriti dalam media sosial sentiasa dilihat hebat.
Namun katanya, artis juga seperti insan biasa lain yang mempunyai kerisauan terutama terhadap perjalanan kerjaya mereka.
“Artis diminta muat naik gambar yang cantik dan jadi misteri, berpura-pura bahawa hidupa sebagai artis itu hebat tetapi saya harap orang dapat melihat betapa gembiranya saya apabila menerima notifikasi ada peminat baru dan tersenyum sendiri.
“Tengok kami gembira apabila melihat angka pendengar di platform penstriman naik atau macam mana sukarnya kami untuk tidur apabila memikirkan masa hadapan sekiranya tiada lagi yang sudi mendengar muzik kami,” tulisnya lagi.
Penyanyi berusia 36 tahun yang meraih pengiktirafan dalam dan luar negara itu juga tidak ketinggalan menzahirkan terima kasih kepada peminat yang membeli tiket konsert YUNAVERSE.
Bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 22 Oktober depan, Yuna akui teruja untuk kembali ke tanah air menghiburkan peminat.
Selain di Kuala Lumpur, pelantun lagu Terukir Di Bintang itu bakal menjelajah Asia Tenggara termasuk Tokyo, Jepun pada 16 Oktober sebelum beraksi di Singapura, 18 Oktober ini.
Selepas itu, Yuna turut mengumumkan penganjuran konsert di Kuching, Sarawak pada 27 Oktober depan. – HIBGLAM