Bajet rendah? saya tak berkira – Fasha Sandha

AKTRES, Fasha Sandha mengakui tidak berkira soal bayaran apabila sedia menerima tawaran filem yang mampu memberikan pengalaman baharu kepadanya.

Katanya, apabila bekerja dia melihat kredibiliti pengarah dan rakan gandingan sebagai faktor tambahan, bukan hanya bayaran semata-mata.

“Setiap filem mempunyai bajet tertentu tetapi kita kena tengok situasi atau kelebihan sesuatu karya kerana ada diantaranya tidak boleh ikut kadar bayaran semasa.

“Macam filem Cerana Biduk Bu Merah misalnya, walaupun dalam kategori bajet rendah saya terima kerana cinta terhadap lakonan selain berpeluang timba ilmu lakonan dengan pelakon lebih berpengalaman.

“Apa pun soal bayaran itu subjektif, terpulang kepada pelakon lain sama ada nak terima atau tidak. Saya tak berkira, ikut kadar sebenar memang tak mampu mereka bayar,” katanya selepas pratonton filem Cerana Biduk Bu Merah, baru-baru ini.

PELUANG bekerja dengan pelakon idolanya, Wan Hanafi Su antara sebab mengapa Fasha menerima tawaran membintangi filem Cerana Biduk Bu Merah.

Menurut aktres versatil itu, kesanggupan memenuhi tawaran penerbit dan pengarah, Haizul Anafer Ali juga  bersandarkan keinginan mahu membantu.

“Hairul ada hubungi saya minta tolong, jadi saya ambil peluang ini kerana tahu dia berpengalaman luas, selain ada aktor hebat seperti Wan Hanafi Su yang saya hormati.

“Hazrul pun sudah lama dalam industri, apabila dia cakap minta tolong sebab filem ini bajet tidak besar, saya tidak boleh letak harga biasa.

“Ada perkara yang kita buat kerana duit tetapi ada juga perkara yang kita lakukan kerana minat. Mungkin ini hari dia, esok lusa kita pula,” katanya.

Menerusi filem itu Fasha menggalas peranan sebagai wanita yang dijaga kuasa mistik hingga mampu mengekalkan kejelitaan biarpun sudah berusia.

“Alur ceritanya menarik iaitu berkisar wanita yang dipinggirkan penduduk kampung selepas dia dikatakan di bawah perlindungan kuasa ghaib,” ujar ibu kepada tiga cayaha mata ini.

Naskhah yang turut membariskan aktor hebat Wan Hanafi Su, Pekin Ibrahim dan Badrul Muhayat itu bakal ditayangkan di 70 pawagam tempatan bermula 12 Oktober ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok