Bagai ‘Tanggang’ moden, Shila Amzah pilih bertenang

KEMELUT dalaman keluarga penyanyi Shila Amzah yang sepatutnya boleh diselesaikan secara tertutup sesama adik-beradik kini kian merebak semarak api membakar dedaunan kering.

Sepertinya selesa dengan pendekatan berbalas serangan dalam platform media sosial yang menjadi tontonan umum, masing-masing juga secara tidak langsung sedang ‘melondehkan’ sisi hitam sendiri.

Bagai sebuah drama sinetron 120 episod dengan blok pertama hanya menonjolkan beberapa watak, kali ini, kronologi cerita yang asalnya dicetuskan si bongsu daripada empat bersaudara, Syada Amzah semakin meleret-leret.

Akhirnya ibu mereka, Fauziah Sarman tampil bersuara selepas beberapa hari perbalahan dua penjuru antara puteri sulungnya dengan Syada yang bergabung bersama anak keduanya, Syafiq Hamzah menjadi bahan berita.

Bekas isteri kepada artis 1980-an, Datuk ND Lala itu akhirnya memberi penjelasan panjang lebar, namun seakan-akan menyalahkan Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah.

Menerusi hantaran Instagram, wanita berusia 55 tahun itu mendakwa berlaku pembohongan mengenai isu rumah serta perihal lain yang disebarkan darah dagingnya sendiri sehingga membuatkannya berdepan kecaman khalayak.

“Terima kasih Nurshahila kerana beri ruang untuk orang hina dan keji mak sendiri dalam video live. Allah tahu apa kebenarannya,” katanya berbaur nada sinis.

Semua kenyataan dikongsi dalam Instagram kemudian dipadamkan, tetapi selepas itu beberapa kata-kata hikmah menyusul berkaitan merujuk perangai sebenar anak sulungnya itu.

FAUZIAH Sarman (kiri) mendakwa Shila berbohong mengenai isu rumah serta perihal lain sehingga ramai bertindak mengecamnya.

Sementara itu, Shila ketika dihubungi Pose hanya meminta agar diberikan ruang selain enggan mengulas lagi situasi keluarganya terutama berkenaan luahan serta dakwaan tindakan kasar terhadap ibunya.

Katanya, buat masa ini fokus utama ditumpukan kepada pertandingan Famili Duo musim ketiga terbitan TV3 yang bakal memulakan saingan malam ini.

“Saya bersama adik, Syahir ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan,” ulasnya ringkas merujuk kepada program Famili Duo.

Perbalahan dalam keluarga penyanyi itu bermula selepas Syada membuat luahan mencari rumah sewa disebabkan bakal dihalau keluar dari kediaman diduduki bersama ibu mereka.

Rentetan itu, Shila membuat kenyataan balas dalam sesi siaran langsung dalam Instagram dengan mendedahkan dirinya bekerja sejak sekolah rendah, selain tidak memegang kad bank serta pengenalan diri sehingga berumur 28 tahun.

Pengakuan mengejutkan pelantun Patah Seribu itu meruntun perasaan ramai apatah lagi selepas mendakwa pernah dipukul Syafiq yang menurutnya, turut bertindak mengasari ibu dan adik-beradik yang lain. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok