Badrul Muhayat suka bergurau, mesra – rakan artis

PEMERGIAN pelakon senior, Badrul Muhayat,55, mengejutkan ramai pihak terutama rakan artis yang sama-sama terlibat dalam penganjuran sebuah acara di Pulau Pinang.

Masing-masing mendakwa, arwah tidak menunjukkan tanda-tanda mengalami masalah kesihatan.

Menurut pelakon Nadia Kesuma, Badrul ada menghidap penyakit kencing manis namun keadaannya semakin sihat berbanding dahulu.

“Kami semua berada di sini sejak Khamis lalu bagi menyertai Karnival UDA di Jalan Baru, Perai yang bermula semalam.

“Arwah seorang yang amat ‘energetic’, suka bergurau dan mesra dengan semua orang.

“Namun, saya terkilan tidak sempat menyapanya kerana sibuk menyiapkan ‘booth’ jualan,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah rumah inap lokasi kematian arwah di Taman Pauh Jaya di sini, hari ini.

Nadia berkata, mereka dimaklumkan mengenai pemergian Badrul oleh isteri arwah, Norhayati Zulkapli pagi tadi.

“Isterinya mengejutkan arwah kira-kira pukul 7.30 pagi namun arwah mengatakan, mahu berehat sebentar.

“Apabila isterinya cuba mengejutkannya sekali lagi, tubuh arwah sudah sejuk dan pasukan perubatan turut melakukan bantuan pernafasan kira-kira setengah jam sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Allahyarham Badrul meninggalkan seorang balu, Norhayati yang baru dinikahi pada 18 April lalu dan dua cahaya mata, hasil pernikahan terdahulu, masing-masing berusia 14 dan 16 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok