Bad Indigo selamat disemadikan

KIRA-KIRA 100 ahli keluarga serta kenalan mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham Badrul Izhan Shahrizan atau Bad Indigo di Tanah Perkuburan Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pukul 2.50 petang tadi.

Jenazahnya selamat dikebumikan selepas solat Jumaat, manakala urusan memandikan dan solat jenazah dilaksanakan di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya.

Antara rakan artis yang mengiringinya termasuk semua anggota kumpulan Indigo, Liza Hanim serta bekas isterinya, Ashira Aziz.

Allahyarham Bad menghembuskan nafas terakhir pukul 7 malam, semalam selepas mengalami sesak nafas di tempat kerjanya di Reiber Auto di Bukit Permai, Ampang, Selangor.

 

Kira-kira 100 ahli keluarga dan kenalan hadir ke majlis pengebumian Allahyarham Bad Indigo.

Terdahulu, arwah yang berusia 48 tahun kehilangan kesemua jari kaki kiri sejak Mac tahun lalu akibat kencing manis.

Indigo yang ditubuhkan tahun 1996 oleh KRU Records merupakan kumpulan vokal yang popular dengan lagu berentak R&B dan pop Melayu.

Selain Bad, kumpulan itu turut dianggotai Shah atau nama lengkapnya Mohamed Shahrin Mohamed Samsudin, Zam (Shahrul Nizam Abdul Aziz) dan Shaz (Nor Shazman Nor Shahid).

Indigo yang diperkenalkan kepada umum menerusi album pertama, Intro pada pertengahan1997 terkenal dengan lagu Suraya dan Gadis Misteri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok