MENAMPILKAN persembahan kurang memberangsangkan menerusi lagu Sayang Disayang pada minggu ketiga konsert All Stas Gegar Vaganza (GV10) di Dewan Auditorium MBSA, Shah Alam malam ini, Azharina Azhar dikritik tiga juri tetap.
Menurut ketua juri, Datuk Ramli MS, nyanyian bekas juara GV musim ketiga itu tidak mencapai tahap sepatutnya.
“Dia menyanyi tidak bagus malam ini, semasa sesi latihan (rehearsal) lebih baik,” komennya ringkas.
Sementara itu, seorang lagi juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat pula berpendapat Azharina tidak menyampaikan maksud sebenar lagu dendangan asal penyanyi, Rubiah tersebut menerusi persembahannya.
“Penceritaan perlu ada dan saya rasa interpretasi awak mengenai lagu ini berbeza daripada liriknnya yang berkisarkan tentang kesedihan. Muka awak gembira tetapi lagu ini sebenarnya sedih.
“Suara awak pun sepatutnya boleh bermain dengan lebih banyak lenggok dan teknik,” jelasnya.
Susulan itu, Azharina menjelaskan jenis suaranya sudah dikurniakan Tuhan tidak boleh diubah lagi.
“Suara saya ini Allah SWT yang kurniakan.
“Selepas saya bertanya dengan orang lama dan belajar daripada mereka yang berpengalaman, lagu ini ialah mengenai kematian seorang kekasih.
“Waktu rehearsal, ada yang minta saya longgarkan sedikit cara nyanyian,” jawabnya yang popular dengan lagu Elegi Sepi.
Azharina sebelum ini meraih pujian daripada barisan juri pada konsert minggu kedua GV10 menerusi nyanyian lagu Ayah.
Nyanyiannya itu turut membuatkan ramai penonton termasuk juri tetap, Hetty Koes Endang menitiskan air mata. – HIBGLAM